
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Shahrul Pitri Jusoh terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Abdul Rahman yang bersidang bersama-sama hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Mohd Yusof dan Abdul Karim Abdul Jalil, berkata Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila mensabitkan Shahrul dengan kesalahan membunuh.
Beliau berkata, hukuman mati itu yang kemudian dikekalkan Mahkamah Rayuan adalah wajar berdasarkan keadaan jenayah tersebut.
Ketika Mahkamah Rayuan mendengar kes Shahrul pada 14 Sept 2023, pindaan terhadap undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan memberikan hakim kuasa budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara, telah berkuat kuasa.
Abdul Rahman berkata, terdapat keperluan mengimbangi simpati kepada pesalah dan kesengsaraan dialami mangsa atau kerosakan yang berlaku akibat perlakuan jenayah Shahrul Pitri kepada masyarakat.
Beliau juga berkata, prinsip am menyatakan bahawa mahkamah yang mendengar rayuan perlu berhati-hati dalam mencampuri hukuman dijatuhi, kecuali ia menyalahi undang-undang, tidak memadai, atau berlebihan.
Shahrul, 41, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 6 Ogos 2020 kerana membunuh Muhammad Faqih Zahirulhaq Mohd Fadzil, 5, Muhammad Firash Zafrill, 3, dan Nur Zia Fasihah, 2, di sebuah rumah di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Teluk Intan, Perak antara 2.30 petang hingga 2.40 petang, pada 17 Mei 2018.
Terdahulu, peguam R Mahendren Naidu berhujah bahawa ketika kejadian, anak guamnya mengambil dadah dan berang dengan bapa ketiga-tiga mangsa yang didakwa menipu gaji tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol pula berhujah perunding psikiatri forensik, Ian Lloyd Anthony memberi keterangan di mahkamah bahawa Shahrul waras ketika dia membunuh tiga kanak-kanak itu.