8 tong disyaki bahan kimia ditemui dalam parit Sungai Buloh

8 tong disyaki bahan kimia ditemui dalam parit Sungai Buloh

Jabatan Alam Sekitar telah mengambil sampel untuk siasatan lanjut.

Lapan tong tanpa label ditemui dalam alur parit memasuki Sungai Gasi dan seterusnya ke Sungai Buloh. (Gambar LUAS)
KUALA LUMPUR:
Lapan tong sisa buangan jenis cecair dipercayai bahan kimia ditemui dalam parit berhampiran kawasan perkilangan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, dua hari lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.02 malam, Selasa, sebelum menemui tong berkenaan di dalam parit sedalam 0.3m.

Beliau berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ketika ini masih dalam proses mengalihkan tong tersebut dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel.

Mukhlis berkata, operasi tersebut turut melibatkan bantuan daripada JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan (PBT), dan polis.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin, berkata siasatan oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengesahkan terdapat lapan tong tanpa label ditemui dalam parit terbabit, selain mengesan bau kuat seakan bahan kimia di lokasi tersebut.

“Pemerhatian lanjut Luas mendapati alur parit memasuki Sungai Gasi seterusnya ke Sungai Buloh. Tiada muka sauk loji rawatan air (LRA) berada di hilir aliran itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MPS sudah memasang pita keselamatan di lokasi untuk tindakan siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.