
Menteri Armizan Mohd Ali berkata, setakat ini, semua syarikat itu didapati tidak patuh dengan tanggungjawab menyerah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan.
“Setakat ini, jumlah keseluruhan kompaun yang dikenakan kepada GISBH dan pengarah yang berkaitan adalah RM4.4 juta,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.
Kelmarin, KPDN mengumumkan ia bekerjasama dengan polis bagi membantu melengkapkan siasatan terhadap GISBH.
GISBH menjadi tumpuan susulan serbuan polis ke atas 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengannya. Syarikat itu didakwa terlibat kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan doktrin ketaasuban.
Armizan hari ini berkata, KPDN membantu polis membuat semakan terhadap entiti-entiti perniagaan yang diguna pakai GISBH.
“Kita juga bantu polis untuk berikan laporan tentang rangkaian-rangkaian perniagaan mereka,” katanya.
Katanya, setakat ini KPDN mengesan 17 entiti perniagaan yang didaftarkan atas nama GISBH.
KPDN juga mendapati sebanyak 201 perniagaan yang boleh dikaitkan dengan GISBH.
“Kita lihat bukan pada faktor jenayah dan sebagainya … lihat kepada kepatuhan kepada perundangan seperti tanggungjawab untuk mengemukakan penyata kewangan dan laporan-laporan yang terkait,” kata Armizan.
KPDN dilapor sedang menyemak pendaftaran syarikat induk dan anak-anak syarikat GISBH, termasuk pematuhan terhadap penghantaran laporan tahunan dan penyata kewangan serta segala yang berkaitan.
KPDN juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia memantau promosi produk berkaitan GISBH dalam talian.