Seharum kopi Kluang, harapan tinggi pengundi untuk bakal YB Mahkota

Seharum kopi Kluang, harapan tinggi pengundi untuk bakal YB Mahkota

Peniaga berharap bakal Adun Mahkota dapat membantu merancakkan perniagaan di DUN Makhkota yang suram pasca PKP.

Beberapa peniaga dakwa banyak premis perniagaan ditutup kerana terjejas akibat kekangan operasi ketika Covid-19 melanda. (Gambar Bernama)
KLUANG:
Ah Kok, 78, pemilik kedai perabot di Jalan Rambutan cukup teruja melihat kedatangan jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ke bandar itu sempena kempen PRK DUN Mahkota, Sabtu ini.

Kenderaan berpusu-pusu membawa ramai ‘pelancong politik’ ke Kluang yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘bandar rel’ benar-benar menghidupkan suasana sekali gus membolehkan peniaga mencari rezeki.

Kafe menghidangkan kopi Kluang yang terkenal sentiasa penuh, malah ada seorang menteri yang turun berkempen terpaksa beratur bersama puluhan pelanggan sebelum mendapat meja di premis terbabit.

Keadaan itu mengingatkan Ah pada suasana perniagaan yang meriah sebelum penularan Covid-19, dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan pergerakan dan aktiviti termasuk kegiatan jual beli.

Ah Kok.

“Saya sudah 25 tahun berniaga. Selepas PKP memang menurun… ada hari langsung tiada jualan dan banyak juga kedai lain ditutup.

“Tak boleh buka sampai malam lagi kerana tiada pelanggan waktu itu,” katanya ketika ditemui FMT.

Ah mengharapkan kemeriahan ini berlanjutan selepas PRK Mahkota yang dijangka melabuhkan tirai pada malam Sabtu ini.

Secara tersirat, Ah berharap Syed Hussien Syed Abdullah (BN) atau Mohamad Haizan Jaafar (PN) yang bakal diangkat sebagai Yang Berhormat pada 28 Sept ini dapat membantu melonjakkan semula perniagaan di bandar itu.

“Bantulah hidupkan perniagaan di sini,” katanya.

DUN Mahkota yang terletak di bawah Parlimen Kluang memiliki 66,318 pengundi berdaftar dengan pecahan Melayu (56%), Cina (34%), India (8%), dan lain-lain (2%).

Lin Hoong Chiat.

Harapan Ah supaya perniagaan kembali rancak turut disokong peniaga makanan dan minuman Lin Hoong Chiat, 34, dan pemilik premis menjual kelengkapan umrah dan haji Masnira Ali, 36.

“Perniagaan makanan dan minuman mungkin OK lagi tetapi itu pun terhad sehingga 7 malam sahaja. Kalau boleh rancakkan semula kawasan ini supaya hidup seperti berhampiran Kluang Mall,” kata Lin.

Masnira Ali.

Bagi Masnira pula, wakil rakyat baharu perlu lebih ‘cergas’ berusaha merancakkan perniagaan di DUN Mahkota.

“Rajinlah turun padang dan cadang tarikan baharu untuk rancakkan perniagaan. Kalau boleh naik taraf stesen bas supaya dapat tarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Sementara itu, Azizi Munir, 42, mencadangkan kerajaan membina sebuah universiti awam di DUN Mahkota yang boleh membantu memacu pertumbuhan ekonomi, menerusi limpahan kepada penduduk tempatan.

“Ia dapat menarik orang luar berpindah Kluang baik sebagai petugas atau pelajar di universiti. Bila ini terjadi ada permintaan untuk rumah sewa atau perniagaan makanan.

“Dari segi kemudahan saya rasa mencukupi. Jalan tiada masalah cuma biasalah sesak apabila waktu puncak yang menunjukkan Kluang semakin membangun,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.