Reman 24 individu termasuk pemimpin kanan GISBH disambung 4 hari

Reman 24 individu termasuk pemimpin kanan GISBH disambung 4 hari

Reman tujuh hari semua individu itu tamat hari ini.

Semua individu itu disiasat mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis melanjutkan penahanan 24 individu, termasuk pemimpin kanan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) selama empat hari hingga 28 Sept ini bagi membantu siasatan.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali mengeluarkan perintah itu selepas tempoh reman tujuh hari semua individu diwakili peguam Rosli Kamarudin tamat hari ini.

Terdahulu, semua suspek dalam lingkungan 25 hingga 65 tahun dibawa ke mahkamah secara berasingan pada 9.20 pagi dengan dikawal ketat pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Gerakan Am.

Khamis lalu, 19 individu dikaitkan dengan GISBH ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang pada 5.40 pagi, manakala lima lagi termasuk individu dipercayai anak pemimpin utama syarikat itu ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira 6 petang 18 Sept.

Kes disiasat mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Sementara itu, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menolak permohonan bebas dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah terhadap 22 wanita dipercayai ahli GISBH.

Difahamkan, mereka kemudian dibawa ke Lokap Berpusat IPD Shah Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.