
Wan Ahmad Wan Omar berkata, gesaan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris supaya Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan pilihan raya bagi mengukur sokongan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai tidak relevan.
“Tak boleh nak selesaikan masalah persaingan untuk mengesahkan keabsahan kali kedua kerana dengan jelas perdana menteri dilantik Yang di-Pertuan Agong selepas baginda yakin calon dilantik dapat sokongan terbanyak ahli Dewan Rakyat.

“Jangan ada-adakan perkara yang tiada dalam peruntukan undang-undang terutama sekali Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada FMT.
Semalam, FMT melaporkan Razali mencabar Anwar membubarkan Parlimen segera untuk memberi laluan pilihan raya kilat sebagai jalan terbaik mengukur sokongan kerajaan hari ini, bukan usul tidak percaya di Dewan Rakyat.
Jumaat lalu, Anwar mencabar pembangkang mengikut undang-undang dan proses betul dengan membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.
Penggal Parlimen ke-15 hanya tamat Disember 2027.
Ini bukan kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional (PN) membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat. Cabaran sama pernah dibuat pada 11 Jan tahun ini dan 6 Mei tahun lalu.
Anwar dilantik perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022, selepas mendapat sokongan majoriti dalam kerajaan perpaduan terdiri Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan parti lain.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut menolak cadangan itu kerana demokrasi perlu mengikuti proses sepatutnya bukan sekadar ‘mengikut sedap tekak mana-mana pihak’.
“Kalau betul rasa kerajaan ini tidak mempunyai mandat, bawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat dan jika pemerintah gagal gagal, pilihan raya akan diadakan,” katanya.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata kenyataan Razali tidak menguntungkan Bersatu, sebaliknya perlu fokus menjadi pembangkang berkaliber.
“Bila tiba masanya rakyat akan ingat jika jadi pembangkang baik yang beri keyakinan untuk dipilih sebagai pemerintah,” katanya.