
Lelaki berusia 30-an yang pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca) itu disyaki terbabit kes pecah kedai di Damansara.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Petaling Jaya ketika menjalankan risikan terserempak kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dipandu suspek di lokasi terbabit pada 1.15 pagi tadi.
Beliau berkata, suspek bukan saja enggan memberhentikan kenderaan dipandunya, tetapi bertindak mengundur secara laju sehingga merempuh kenderaan polis dan orang awam.
“Polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri ke arah kenderaan suspek sehingga mengakibatkan kenderaan dipandu suspek terbabas.
“Suspek turut terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya menurut Harian Metro.
Menurutnya, pelbagai peralatan pecah rumah ditemui dalam kenderaan suspek, antaranya tiga parang, alat pemotong besi, kapak, kuku kambing dan pengikis.
Beliau berkata, suspek mempunyai 26 rekod lampau dengan 10 daripadanya berkaitan kes pecah rumah dan kedai serta sembilan lagi rekod dadah.
“Semakan juga mendapati suspek pernah dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(d) Poca,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu cubaan membunuh.