GISBH: 34 individu selesai reman akan ditahan semula ikut Sosma, kata KPN

GISBH: 34 individu selesai reman akan ditahan semula ikut Sosma, kata KPN

Tempoh reman kesemua 34 individu itu berakhir hari ini, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

pengikut gisbh
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, 34 individu berkait kes GISBH, yang selesai tempoh reman hari ini, akan ditahan semula mengikut Sosma. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 34 individu terkait dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang telah tamat tempoh reman akan ditangkap semula bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, tempoh reman kesemua 34 individu itu berakhir hari ini.

“Seramai 127 orang lagi dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman dan kita menasihatkan mereka untuk tampil kepada polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, pihaknya mengesan hantaran Facebook yang didakwa mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISBH yang terjejas.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha tersebut, yang dipercayai merupakan cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu (GISBH) ini,” katanya.

Polis yang melaksanakan Op Global sejak 11 Sept telah menyelamatkan 572 kanak-kanak dan remaja yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi syarikat itu.

Sementara itu, dalam Op Global Fasa Empat pada Sabtu lepas, pelbagai jenis buku, dokumen, dan gambar yang berkaitan dengan ajaran Al-Arqam serta GISBH telah dirampas.

Setakat ini, lebih 300 individu, termasuk pengurusan tertinggi GISBH, telah ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.