Dituduh sebar fahaman komunis, pemimpin Umno bidas Bersatu

Dituduh sebar fahaman komunis, pemimpin Umno bidas Bersatu

Puad Zarkashi berkata, lawatan ke China bertujuan belajar mengenai perkembangan teknologi dan ekonomi negara itu, bukan mendalami ideologi komunis.

puad
Puad Zarkashi berkata, lawatan delegasi BN ke China ialah amalan tahunan yang turut dilakukan ketika pemimpin tertinggi PN sekarang, Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin, masih ahli Umno.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi membidas tuduhan Bersatu bahawa beliau menyebarkan fahaman komunis dalam kalangan ahli parti.

Tuduhan itu timbul susulan lawatan delegasi Barisan Nasional (BN) ke China bagi memperingati 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

Puad menegaskan, lawatan tersebut lebih bertujuan belajar mengenai teknologi dan perkembangan ekonomi China, bukan mendalami ideologi komunis.

“Tidak ada sekelumit pun kelas ideologi komunis (ketika lawatan ke China). Bukan kita belajar ideologi komunis, tajuk dibincangkan ialah pemodenan China, cara China melatih dan memilih pemimpin dan celik media sosial.

“Maka tuduhan Umno diresapi faham komunis, apatah lagi menuduh saya mungkin menyebarnya di Dewan (Undangan Negeri) Johor amat melampau,” kata Puad, menempelak dakwaan bekas menteri besar Johor Sahruddin Jamal sebagai tuduhan berat dan tidak berasas.

Awal hari ini, media melaporkan Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis terhadap Puad yang membawa pemimpin parti ke China untuk lawatan sambil belajar.

Pengerusi PN Johor Sahruddin Jamal berkata, gabungan itu bimbang fahaman komunisme akan menular dalam kalangan ahli Umno dan juga DUN Johor, yang dipengerusikan Puad sebagai speaker.

Laporan tersebut dibuat susulan hantaran Puad di Facebook baru-baru ini yang memperincikan lawatannya ke Sekolah Jawatankuasa Parti Perbandaran Parti Komunis China (PKC) Beijing.

Puad menjelaskan, lawatan delegasi BN ke China ialah amalan tahunan yang turut dilakukan ketika Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin masih ahli Umno.

“Muhyiddin dua kali ke Beijing, April 2011 dan November 2014. Mana mungkin setakat mendengar taklimat kejayaan ekonomi China sudah layak dituduh menerima ideologi komunis.”

Beliau turut mempersoalkan sikap Bersatu yang membisu mengenai lawatan Presiden PAS Hadi Awang ke Iran ketika Aleppo diserang.

“Hatta lawatan Hadi itu dikritik oleh Dr Yusof Al Qardawi dari Majlis Ulama Sedunia. Apakah Hadi wajar dituduh pro Syiah?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.