Bekas pengetua asrama akhlak didakwa salah guna wang lebih RM43,000

Bekas pengetua asrama akhlak didakwa salah guna wang lebih RM43,000

Mohd Baharudin Admin, 45, mengaku tidak bersalah atas 4 tuduhan menyalahgunakan wang lebihan tuntutan bayaran JKM.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru membenarkan tertuduh Mohd Baharudin Admin, 45, diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan untuk semua tuduhan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seorang bekas pengetua asrama akhlak di Kempas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat tuduhan menyalahgunakan wang bernilai RM43,098.20 berkaitan lebihan tuntutan bayaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor tiga tahun lepas.

Mohd Baharudin Admin, 45, juga mengaku tidak bersalah terhadap terhadap empat tuduhan pilihan memalsukan dokumen senarai Daftar Kehadiran Harian Tahanan Sementara Asrama Akhlak (Lelaki) Kempas kepada JKM Johor, pada tahun sama, selepas kesemua tuduhan itu dibacakan terhadapnya hari ini.

Lelaki itu didakwa dengan curangnya menyalahgunakan suatu harta, wang berjumlah RM15,718.20, RM4,500, RM9,380 dan RM13,500, iaitu lebihan tuntutan bayaran syarikat Hikmat Warisan kepada JKM Johor melalui akaun CIMB Islamic Bank Bhd miliknya, daripada Mohd Ashaari Masiran, 39.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah bank di Pusat Bandar Tampoi, dalam daerah Johor Bahru pada 6 Jan, 30 Apr, 31 Mei dan 25 Sept 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Baharudin juga didakwa atas tuduhan pilihan satu hingga empat, dengan curangnya menggunakan sebagai tulen satu dokumen, iaitu Senarai Daftar Kehadiran Harian Tahanan Sementara Asrama Akhlak (L) Kempas bagi Julai, Ogos, September dan Oktober 2021 yang diketahui, pada masa tertuduh menggunakannya, adalah satu dokumen palsu.

Kesalahan dilakukan di JKM Johor pada 2 Nov, 2 Sept, 4 Okt dan 2 Nov 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Yasri Yahya dan Mohammad Riduwan Mohammad Radzi mencadangkan jaminan RM20,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru.

Passport antarabangsanya juga perlu diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Khairul Azwad Sariman dan Mohd Syahmi Nawawi memohon jaminan dikurangkan kepada tidak lebih RM10,000 dan pengecualian syarat, kerana Mohd Baharudin yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM.

Menurut mereka, tertuduh juga berkhidmat sebagai penjawat awam selama 22 tahun dan menanggung seorang isteri yang tidak bekerja serta lima anak kecil yang masih bersekolah.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan untuk semua tuduhan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 24 Okt depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.