Tanya menteri, Khairuddin enggan ulas penamatan KP J-Kom

Tanya menteri, Khairuddin enggan ulas penamatan KP J-Kom

Mohd Khairuddin Othman mengesahkan ditamatkan jawatan sebagai ketua pengarah J-Kom selepas enam bulan dilantik namun enggan ulas lanjut.

Khairuddin Othman
Mohd Khairuddin Othman dilantik ketua pengarah J-Kom pada 1 Mac lalu menggantikan Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan pada November 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mohd Khairuddin Othman meminta media bertanya kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil apabila ditamatkan jawatan ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) selepas hanya enam bulan dilantik.

Beliau dilantik ke jawatan itu 1 Mac lalu menggantikan Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan pada November 2023.

“Elok kalau tanya terus dan rujuk pada menteri (komunikasi),” katanya kepada FMT, namun enggan ulas lanjut.

Khairuddin yang juga setiausaha PKR Selangor dan bekas exco dilantik ketua pengarah J-Kom selepas Agus meletak jawatan susulan kontroversi perbualan lucah antara seorang lelaki dipanggil ‘Wahab’ dengan seseorang miripnya yang tersebar di media sosial.

Lelaki itu dikenali Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, bertugas sebagai penolong pegawai J-Kom.

Bagaimanapun, Agus memberi alasan peletakan jawatannya kerana menerima tawaran kerja baharu, bukan disebabkan tekanan mana-mana pihak.

Agus dan Wahab kemudian membuat sidang media bersama pada 17 Nov tahun lalu menjelaskan isu berkaitan.

FMT menghubungi Fahmi untuk mendapatkan penjelasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.