Polis siasat 4 kes peguam pecah amanah RM2.7 juta

Polis siasat 4 kes peguam pecah amanah RM2.7 juta

Ia termasuk kes rakan kongsi guna akaun anak guam RM339,000 untuk kepentingan peribadi.

Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya turut menerima laporan seorang peguam ditipu sindiket ‘love scam’.
KUALA LUMPUR:
Empat laporan diterima melibatkan kes pecah amanah peguam dengan nilai kerugian lebih RM2.7 juta sejak awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 47 tahun melaporkan kerugian RM1.9 juta membabitkan firma guaman dilantik menguruskan empat tuntutan sivil.

Katanya, kes kedua membabitkan seorang peguam berusia 49 tahun yang mendakwa bekas rakan kongsinya melakukan penyelewengan wang dari akaun anak guam firma guaman mereka, berjumlah RM339,243.00 untuk kegunaan peribadi.

“Pengadu telah membuat pinjaman peribadi dan menjual rumah miliknya bagi menggantikan wang yang telah digunakan oleh suspek.

“Sehingga kini suspek gagal membuat bayaran semula sepertimana dijanjikan,” katanya pada sidang media di JSJK Bukit Aman.

Ramli berkata, dua lagi kes melibatkan seorang pengarah dan ahli perniagaan.

“Kes ketiga melibatkan pengarah syarikat yang mendakwa rugi lebih RM438,000 gara-gara menjadi mangsa penipuan sebuah firma guaman dalam urusan pengendalian kes sivil.

“Kes keempat libat pengadu ahli perniagaan dengan kerugian sebanyak RM23,000 oleh firma guaman yang gagal mengurus urusan pembelian tanah,” katanya memaklumkan semua kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ramli memaklumkan kes terbaharu ‘love scam’ melibatkan mangsa seorang peguam wanita berusia 58 tahun.

Katanya, pengadu dari Perak melaporkan ditipu seorang lelaki mendakwa sebagai ‘marin geologist’ dari Amerika Syarikat.

“Suspek didakwa dirompak ketika datang Malaysia dan meminta pengadu membuat bayaran berjumlah RM1,757,490.00 ke beberapa akaun bank yang diberikan.”

Kes ini sedang disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkenaan penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.