Jangan guna Sosma siasat GISBH, bekas Ahli Parlimen beritahu polis

Jangan guna Sosma siasat GISBH, bekas Ahli Parlimen beritahu polis

Maria Chin Abdullah berkata, terdapat peruntukan lain bawah Kanun Tatacara Jenayah yang boleh digunakan, tanpa perlu mengguna pakai Sosma.

9_MARIA_CHIN_ABDULLAH_FMT_23092022
Bekas Ahli Parlimen PKR, Maria Chin Abdullah, yang pernah menjadi tahanan Sosma berkata, undang-undang drakonian itu tidak sepatutnya diguna mahupun dipertimbangkan untuk menyiasat GISBH.
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen menggesa polis agar tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 dalam siasatan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata, polis harus mendakwa suspek di mahkamah sekiranya mereka didapati melakukan sebarang kesalahan.

“Kes GISB (membabitkan) kepentingan awam dan semua siasatan mestilah melalui perbicaraan terbuka supaya orang ramai mengetahui perkara sebenar,” kata bekas tahanan Sosma itu dalam kenyataan.

“Dengan mengetahui bahawa Sosma (undang-undang) drakonian dan tidak menjamin keadilan bagi tertuduh, (ia) sepatutnya tidak boleh digunakan mahupun dipertimbangkan. Malah, ia harus dimansuhkan.”

Maria berkata, terdapat peruntukan lain bawah Kanun Tatacara Jenayah yang boleh polis gunakan untuk menyiasat GISBH, tanpa perlu mengguna pakai Sosma.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, polis mungkin mempertimbang menggunakan Sosma untuk melanjutkan siasatan terhadap syarikat itu.

GISBH dan kegiatannya mendapat perhatian selepas polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan syarikat itu.

Menurut siasatan, sekurang-kurangnya 13 diliwat atau diajar untuk melakukan serangan seksual terhadap yang lain. Empat individu yang dikaitkan dengan syarikat itu telah didakwa atas pelbagai kesalahan, termasuk serangan seksual.

CEO syarikat itu, Nasiruddin Ali, dan 18 lagi ahli pengurusan tertingginya telah direman sehingga 25 Sept untuk membantu siasatan.

Maria turut menggesa polis dan kementerian berkaitan menutup semua rumah kebajikan tidak berdaftar yang dikendalikan oleh GISBH dan memberikan sokongan emosi dan psikologi segera kepada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan.

Beliau turut menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar menjalankan audit ke atas semua rumah kebajikan untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya di seluruh negara.

Selain itu, katanya, kajian semula yang mendalam terhadap SOP pemantauan rumah kebajikan harus dilaksanakan, termasuk dari segi pelesenan dan kualiti penjagaan penghuninya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.