
Beliau berkata, pembekalan baja melalui rantaian Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang membuat pesanan pembekalan dan seterusnya baja dibekalkan Nafas akan dihantar kepada pesawah berdaftar sebagai ahli Peladang.
Beliau menegaskan Nafas yang beroperasi selama 52 tahun tidak beroperasi atas kepentingan individu atau pihak tertentu, sebalik memastikan keuntungan diagihkan semula kepada 280 PPK dan 14 PPN untuk manfaat komuniti peladang.
“Nafas memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan pesawah dan peladang terpelihara, di samping menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, katanya Nafas menerusi Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) meningkatkan simpanan stok baja padi sebanyak 30,000 tan metrik dan menambah baik proses penghantaran baja mengikut jadual pembekalan.
Zamri berkata, Nafas juga aktif menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperbaiki kualiti baja serta bekerjasama dengan Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi meningkatkan hasil tanaman padi berkualiti.
“Selain itu, Nafas sentiasa memastikan pesawah mendapat akses kepada pengetahuan terkini dalam bidang pertanian melalui program seperti pemindahan teknologi (TOT) yang dilaksanakan bagi membekalkan pesawah dengan ilmu pembajaan, kesihatan tanaman serta amalan pertanian lebih berkesan.”
Inisiatif itu, katanya, sebahagian daripada komitmen berterusan Nafas dalam menyokong kemajuan sektor pertanian negara.