
Naib Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching mengakui ada kelompok terutama pengundi Cina tidak gembira dengan kenyataan pemimpin terbabit.
Namun beliau berpandangan pengundi harus melihat hakikat masih ramai pemimpin persekutuan dan negeri bersungguh-sungguh dan ikhlas membangunkan negara serta Johor.
“Saya faham ada dalam kalangan masyarakat orang Cina tak gembira dengan kenyataan seorang pemimpin (Umno), tetapi itu hanyalah seorang pemimpin…kita ada banyak lagi pemimpin yang mahu bersama-sama majukan Johor termasuk calon kita, Syed Hussien (Syed Abdullah).
“Jadi tidak adil jika anda tak puas hati dengan seorang pemimpin, anda hukum pemimpin lain yang buat kerja bersungguh-sungguh, katanya pada sidang media selepas melawat pusat media PRK Mahkota.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang berharap pengundi Cina tidak menghukumnya dengan tidak keluar mengundi pada Sabtu ini.
Onn Hafiz berkata, ia susulan laporan diterimanya daripada komuniti perniagaan yang menyatakan pengundi Cina di Mahkota kurang berminat untuk mengundi kali ini.
Media melaporkan isu yang dimaksudkan Onn merujuk kontroversi pensijilan halal antara Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.
Sementara itu, Syed Hussien ketika ditemui dalam jelajah kempennya berharap pengundi Cina akan keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab di sebalik kebimbangan sesetengah pihak terhadap peratusan keluar mengundi dari komuniti itu.
Ketua Pemuda Kluang bagaimanapun berkata, berbaki lima hari sebelum hari pengundian, beliau tidak melihat sebarang sabotaj daripada komuniti itu, malah sentiasa mendapat layanan mesra ketika bertemu mereka.
Saya tak nampak itu (pengundi Cina tak selesa), sebaliknya saya nampak banyak kemesraan, bila saya jumpa mereka, belum saya buka mulut mereka dah panggil nama Hussien, katanya.