
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman, berkata mereka ditukarkan ke jabatan dan daerah lain serta dipecat.
“Jaim memohon maaf atas kesilapan beberapa pegawai menyiapkan paparan serta info grafik berkenaan dan tindakan tatatertib sudah diambil ke atas mereka.
“Ia kesilapan besar dan tindakan ke atas mereka adalah wajar. Saya harap tidak berlaku lagi selepas ini,” katanya selepas perasmian Sekolah Rendah Agama Jaim Al-Qusyairi, Kampung Tersusun Bukit Larang di Telok Mas.
Beliau menjelaskan tindakan itu diambil selepas pegawai itu mengaku bersalah atas kecuaian yang boleh menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di Melaka.
“Saya sudah siasat, semak dengan masjid. Hasil semakan saya dapati memang kesalahan itu berpunca daripada Jaim dan saya sudah panggil semua pegawai terlibat dan mereka mengaku salah.
“Bila mengaku salah, tindakan pertama saya ialah melalui pengarah Jaim, saya minta buat permohonan maaf. Kedua, tindakan tatatertib kepada pegawai terlibat,” katanya kepada FMT sambil menambah Jaim memberi jaminan kesilapan seumpama itu tidak akan berulang dan menganggap isu berkenaan selesai.
Khutbah Jumaat di semua surau dan masjid di Melaka pada 20 Sept lalu mencetuskan kontroversi apabila slaid dikendalikan Jaim memaparkan wajah Presiden PAS, Hadi Awang.
Ia diletak bersebelahan ayat berbunyi: “Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan, dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia.”
Dalam slaid berasingan pula diletakkan gambar bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sedangkan sepatutnya diletak gambar Agong baharu, Sultan Ibrahim.