
Sanusi berkata, kerajaan negeri menghargai peruntukan bagi membantu membaik pulih prasarana dan kediaman penduduk yang rosak, selain untuk pesawah padi yang terjejas.
“Bagi peruntukan yang diumumkan semalam, RM13 juta itu saya ucapkan terima kasih, saya harap ada lagi (tambahan peruntukan),” katanya kepada pemberita semasa melawat pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di SMK Tanah Merah.
Semalam, sewaktu melawat PPS SMKA Kedah, perdana menteri mengumumkan peruntukan RM13 juta sebagai bantuan pascabanjir untuk negeri itu, merangkumi sumbangan, pembersihan, serta baik pulih prasarana yang rosak.

Sanusi berkata, kerajaan negeri juga sebelum ini mengumumkan bantuan awal RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke PPS, melibatkan lebih 2,000 KIR setakat ini.
Beliau berkata, kesan banjir kali ini dilihat menyeluruh di banyak daerah, tetapi tidak seburuk pada 2010.
Beliau berharap fasa peralihan monsun yang diramal bermula pada 24 Sept ini tidak membawa gelombang kedua banjir di Kedah, tambahnya.
“Cuma di daerah Kota Setar, saya dimaklumkan ada peningkatan mangsa banjir, kerana air di hulu sungai tengah surut dan mengalir ke kawasan Kota Setar,” katanya.
Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 8,898 orang setakat 8 pagi ini berbanding 8,066 orang pada 8 malam tadi.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir yang melibatkan 2,871 keluarga kini ditempatkan di 44 PPS di lima daerah.