Premis GISBH diserbu di Johor, temui bahan bukti fahaman Aurad Muhammadiyah

Premis GISBH diserbu di Johor, temui bahan bukti fahaman Aurad Muhammadiyah

Fared Khalid berkata Op Global dilancarkan di lima daerah di Johor selama dua hari.

Fared Khalid berkata, Ketua Polis Negara Razarudin Husain akan memaklumkan butiran lanjut berhubung Op Global di Johor.
KLUANG:
Kerajaan negeri mengesahkan penemuan bahan bukti dipercayai ada kaitan dengan fahaman Aurad Muhammadiyah dalam serbuan di premis Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di lima daerah.

Exco Hal Ehwal Agama Johor Fared Khalid berkata Op Global selama dua hari berakhir semalam disertai polis dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di Kluang, Mersing, Segamat, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Katanya, dalam serbuan itu pihak berkuasa turut menahan penghuni premis termasuk wanita dan kanak-kanak.

Namun, butiran lanjut akan diumumkan oleh Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam masa terdekat, katanya.

“Dalam serbuan itu, kita menemui beberapa bahan bukti seperti bahan bacaan dan risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah ajaran Islam dalam serbuan di premis berkaitan GISBH.

“Bagaimanapun, siasatan terperinci masih dijalankan dan JAINJ akan mengambil tindakan lanjut dari segi pendakwaan sekiranya wujud elemen bercanggah dengan Enakmen Syariah Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Johor disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi. Turut hadir, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Pada Jumaat, Fared memaklumkan sebarang fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISBH di negeri ini hanya akan diputuskan selepas kajian mengenainya dilakukan.

Katanya, fatwa hanya boleh ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin menegaskan, ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.