Pergi Jepun lawatan kerja, bukan bulan madu, jelas Sanusi

Pergi Jepun lawatan kerja, bukan bulan madu, jelas Sanusi

Menteri besar Kedah itu menegaskan, lawatan kerja itu sudah dirancang dan diluluskan pada April lepas.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menziarahi mangsa banjir di sebuah PPS di Pendang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menjelaskan bahawa beliau ke Jepun atas urusan rasmi, bukan membawa isteri baharunya berbulan madu seperti didakwa segelintir pihak.

Menjawab kritikan berhubung ketiadaannya di dalam negara ketika Kedah dilanda banjir, Sanusi berkata, lawatan kerja itu sudah dirancang dan diluluskan pada April lepas.

“(Ada yang mendakwa bahawa) saya pergi berbulan madu. Itu semua tidak betul. Saya (didakwa) bawa bini muda, (itu) pun tidak betul . Mereka (isteri-isteri) bekerja di sini (Kedah),” katanya kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Rakan Muda Tanah Merah, Pendang.

“Sebenarnya, (dakwaan) itu yang hendak diperkatakan (untuk) menenggelamkan isu sebenar banjir. Kira hendak hentam Sanusi. Siapa boleh hentam Sanusi, dia seolah-olah mengeringkan banjir satu Kedah.”

Beliau menjelaskan, banjir melanda negeri pimpinannya itu pada hari kedua beliau berada di Jepun

“Jikalau saya tahu (Kedah akan dilanda banjir), saya pun tidak pergi (ke Jepun). Jikalau saya ada pun, banjir tak akan surut.

“Banjir surut dengan kehendak Allah SWT, bukan dengan kehendak saya,” katanya, lapor Berita Harian.

Sanusi menegaskan, isu banjir tidak wajar dipolitikkan kerana ia tidak membina masyarakat.

“(Semoga) Allah SWT angkat bala bencana ini untuk meringankan bebanan kita. Itu doa kita. Ini tidak, sentiasa salah MB (Menteri Besar). (Seolah-olah) kalau MB ada, mesti tak banjir,” katanya.

Mengulas tentang lawatan rasmi ke Jepun bersama delegasi kerajaan negeri dan agensi lain pada Selasa lepas, Sanusi berkata, ia bertujuan mempelajari perkara baharu berkaitan proses pengurusan operasi empangan bawah tanah.

“Kita belum meneroka (air bawah tanah) … jadi apa kata kita teroka air bawah tanah (dan) gunakan telaga, telaga tiub dan bukan empangan. Benda-benda sangat baguslah tetapi kosnya tinggi.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan siapkan laporan itu untuk kita serah kepada kerajaan persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.