Penyelam wanita lemas di Pulau Tenggol

Penyelam wanita lemas di Pulau Tenggol

Mangsa berusia 33 tahun bersama 28 penyelam terdiri 17 wanita dan 11 lelaki menyertai aktiviti menyelam di pulau itu semalam.

drowning lemas
Mangsa Nur Atiqah Emelia Shubli, 33, lemas ketika menyelam di Pulau Tenggol, Dungun, Terengganu. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang penyelam wanita meninggal dunia ketika menyelam di kawasan Tokong Timur Pulau Tenggol, kira-kira 13 batu nautika dari Kuala Dungun, Terengganu.

Dalam kejadian 10.15 pagi semalam, mangsa Nur Atiqah Emelia Shubli, 33, berasal dari Batu 9, Cheras, disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Dungun.

Sebelum kejadian, mangsa setiausaha di sebuah syarikat perumahan bersama 28 penyelam terdiri 17 wanita dan 11 lelaki, menyertai aktiviti menyelam di pulau itu.

Sebaik semua peserta diarah naik ke permukaan air, seorang pengajar menyelam mendapati mangsa tidak timbul, lapor Harian Metro.

Pengajar menyelam itu kemudian bersama seorang penyelam lain turun semula ke dasar laut untuk mencari mangsa.

Mangsa ditemukan di dasar laut dalam keadaan terdampar di atas batu, sebelum dibawa naik ke atas bot dan diberi bantuan pernafasan.

Sementara itu, Ketua Polis Dungun, Maizura Abdul Kadir, berkata mangsa dibawa dengan bot ke jeti Kuala Dungun sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun dengan menaiki ambulans.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Dungun sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut.

“Bedah siasat akan dilakukan pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.