
Ketua DAP Happy Valley Ganeson Ramasamy mendakwa ramai pemimpin parti itu berdiam diri selepas Kok dikritik Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berhubung pandangannya, sebelum bertindak membela Ahli Parlimen Seputeh terbabit.
Dakwanya, sejak kematian Karpal yang juga bekas pengerusi DAP pada 2014, pemimpin parti itu dilihat enggan mengambil pendirian tegas terhubung sesuatu isu.
“Semua dalam parti harus membela Kok,” katanya kepada pemberita di tepian Konvensyen DAP Pulau Pinang.
“Mengapa pemimpin DAP ini tidak membidas Akmal terus dalam kenyataan media? Mengapa mereka tidak berhadapan Akmal? Ada 40 Ahli Parlimen DAP.
“Tiada lagi Harimau atau Singa sejak pemergian Karpal. Sebelum ini, beliau yang bawa isu seumpama itu.
“Tetapi sekarang semua (pemimpin DAP) jadi tikus. Beliau (Kok) adalah Karpal Singh yang baharu kerana ada keberanian,” tegasnya.
Karpal terkenal sebagai ‘Harimau Jelutong’ kerana kelantangan membawa isu terutama membabitkan kawasan diwakilinya itu di Dewan Rakyat dari 1978-1999.
Beliau terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 2014.
Isu pensijilan halal bermula susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar yang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertimbangan cadangan untuk mewajibkan semua premis makanan tidak menghidangkan babi dan alkohol mempunyai sijil itu.
Dalam maklum balasnya, Kok meminta pensijilan itu dikekalkan sebagai pilihan dan meminta kerajaan membenarkan premis perniagaan membuat keputusan berdasarkan permintaan.
Kenyataannya itu dibidas pelbagai pihak termasuk Akmal dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkannya sebagai pandangan peribadi Kok bukan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook kemudiannya membela Kok sambil menjelaskan kenyataan itu dibuat untuk menyuarakan kebimbangan orang ramai di kawasannya selain pengusaha bukan Islam.
Kabinet minggu lalu memutuskan untuk mengekalkan dasar pemilikan sijil itu dibuat secara pilihan bukan mandatori.