‘Apa pun cubaan PN, kerajaan tetap kuat’, kata Zahid

‘Apa pun cubaan PN, kerajaan tetap kuat’, kata Zahid

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yakin kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak akan goyah walaupun pembangkang sentiasa mencari jalan menjatuhkannya.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi merasmikan majlis realisasi rumah mampu milik Kluang, Johor, hari ini.
KLUANG:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yakin kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim tidak akan goyah walaupun pembangkang sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkannya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kerajaan hari ini mempunyai sokongan 153 Ahli Parlimen, melebihi dua pertiga kerusi, malah solidariti parti dalam kerajaan juga terus kukuh.

“Saya yakin jika ada undi percaya atau tidak percaya sekalipun kerajaan PN mempunyai jalan untuk mencari beberapa pendekatan bagi menggoyahkan kerajaan yang ada.

“Tetapi kita yakin solidariti yang ada dalam kerajaan perpaduan akan terus kukuh dan tidak goyah walau apa pun yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang dalam PN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis realisasi rumah mampu milik Kluang.

Kelmarin, perdana menteri mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Cabaran dilontarkan itu susulan usul diluluskan pada Muktamar Pemuda PAS supaya Anwar meletak jawatan atau diturunkan segera.

Ini bukan kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat. Cabaran sama pernah dibuat pada 11 Jan tahun ini dan 6 Mei tahun lalu.

Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar susulan dakwaan presiden PKR itu tiada majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen, merujuk kepada gerakan Langkah Dubai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.