
Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, berkata ia susulan keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini tidak mewajibkan pensijilan halal kepada semua restoran yang selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan sewajibnya menjadi prinsip bagi kerajaan semasa untuk menentukan segala dasar.
“Semua parti dan pemimpin politik mesti menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dan kontrak sosial tubuh negara termasuk Perkara 3 Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama manakala Islam kekal sebagai agama rasmi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keputusan Jemaah Menteri membuktikan kebimbangan naib pengerusi DAP terhadap perkara itu adalah berdasarkan kedaulatan undang-undang dan pandangan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“…dan pandangannya (Kok) mencerminkan kebimbangan semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil Melayu dan bukan Melayu ketika rakyat menghadapi masalah ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, Akmal juga harus memohon maaf secara mutlak kepada semua rakyat Malaysia bagi menunjukkan beliau adalah pemimpin yang matang dan berpotensi dengan tidak mengulangi politik ‘terlampau’.
Sebelum ini, Kok mempersoalkan cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengkaji mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan kecuali premis menghidangkan daging babi dan alkohol.
Susulan itu, Akmal melalui video di TikTok menyelar kenyataan Kok dan menggelarnya ‘nyonya tua’ dengan berkata beliau tidak boleh mencampuri urusan Islam, khususnya mengenai cadangan pensijilan halal.
Adun Merlimau itu juga didakwa menyifatkan Kok sebagai ‘memalukan’ negara.
Kok kemudian menghantar surat tuntutan kepada Akmal, menyatakan akan menyamannya RM25 juta jika gagal memohon maaf dan memadam serta menarik balik kenyataan didakwa memfitnahnya di media sosial.
Sementara itu, Boo berkata Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan dengan tafsiran lebih progresif bahawa Raja-raja Melayu bukan sahaja pelindung bagi orang Melayu dan Islam, tetapi bertindak sebagai pelindung kepada semua agama dan bangsa demi memelihara kebebasan, keharmonian antara kaum dan agama dalam negara.