
Anwar berkata, beliau telah meminta Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir supaya segera melaksanakan perkara itu dengan persetujuan keluarga tokoh berkenaan.
Katanya, Syed Husin ialah sarjana yang mempunyai ruang pemikiran sangat luas, justeru kursi yang dicadangkannya itu juga tidak harus dibataskan aspeknya.
“Kursi itu bukan sekadar membicarakan susuk Husin tetapi imbauan mengenai curahan pemikiran beliau dalam banyak tajuk, kemiskinan rakyat, sejarah rakyat yang sebenarnya sedikit sebanyak menyimpang dari aliran pemikiran semasa,” katanya.
“…beliau bukan seorang sarjana yang mempunyai pengkhususan dalam bidang tertentu tetapi mempunyai ruang pemikiran yang sangat luas, jadi Kursi Husin itu gagal kalau kita juruskan satu aspek yang terbatas, (ia) sebenarnya membicarakan soal rakyat, soal Malaysia, soal kemanusiaan dan soal perjuangan.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati Prof Dr Syed Husin Ali di Institut Pengurusan dan Perkhidmatan Penyelidikan UM hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan dana RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial Malaysia, yang akan diluluskannya minggu depan, untuk membantu mengkaji karya dan kajian terbitan Syed Husin
“Beliau seorang yang sangat keras dalam soal tatakelola dan isu-isu rakyat terutama dalam hal kemiskinan rakyat … karyanya banyak menyentuh soal ini,” katanya.
Syed Husin yang juga bekas timbalan presiden PKR meninggal dunia 29 Jun lepas akibat kanser pada usia 87 tahun.
Beliau yang juga sahabat rapat serta rakan seperjuangan Anwar terlibat dalam banyak pilihan raya serta pernah berkhidmat sebagai pakar sains sosial di UM.