Pertahan kedaulatan negara tanggungjawab bersama, titah Sultan Nazrin

Pertahan kedaulatan negara tanggungjawab bersama, titah Sultan Nazrin

Sultan Perak bertitah bahawa memahami hakikat komposisi rakyat negara ini terdiri pelbagai kaum adalah penting untuk diusahakan langkah ke arah itu.

Sultan Nazrin Shah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Awam Ke-42 Tahun 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris. (Gambar Bernama)
TANJONG MALIM:
Tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh perlu dipikul secara bersama, yang bermakna komposisi angkatan tentera di negara ini tidak dibatasi kepada orang Melayu sahaja, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah bahawa memahami hakikat komposisi rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum adalah penting untuk diusahakan langkah ke arah itu.

“Pada tahun 1952, penyertaan bukan Melayu dalam angkatan tentera dirintis dengan penubuhan batalion pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron A, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan. Ini diikuti dengan penubuhan unit-unit signal, jurutera, pengangkutan, dan polis tentera, serta penubuhan Maktab Tentera Persekutuan di Port Dickson yang membuka pengambilan pelajar untuk semua kaum,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) Ke-42 Tahun 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim

Turut hadir Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, Pemangku Panglima Angkatan Tentera Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Armada Barat Shamsuddin Ludin mewakili pemangku panglima tentera laut.

Sultan Nazrin bertitah bahawa anggota Palapes yang berjaya melayakkan diri diterima sebagai warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melalui latihan intensif dari segi fizikal, mental, ketahanan serta pelbagai ujian lain. Proses ini juga melibatkan transformasi menyeluruh yang merangkumi aspek fizikal, minda, dan spiritual.

Titah baginda, mereka yang berkenaan juga telah didedahkan dengan dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin, menjunjung semangat setia, mengamalkan ketaatan ketika melaksanakan misi, selain sedia berpanas, berhujan, bertempur, ke medan perang dan berkorban nyawa.

“Setiap keberanian itu dan segala kerelaan itu dilakukan bukan untuk kepentingan diri tetapi dilaksanakan untuk kepentingan mempertahankan negara bangsa,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, anggota tentera yang sedang menyempurnakan amanah dan memenuhi tanggungjawab mereka, hendaklah menjadikan pegangan dan prinsip kepercayaan kepada Tuhan sebagai panduan agar perjuangan tidak tersasar. Semangat kesetiaan kepada raja dan negara mesti dijunjung setiap masa, berteraskan Perlembagaan dan berpaksikan undang-undang.

“Disiplin yang telah menjadi budaya saudara-saudari hendaklah dipamerkan melalui tingkah laku yang bersopan dan bersusila,” titah Sultan Nazrin

Seterusnya, baginda berpesan agar inti pati ucapan Allahyarham Mohd Nor Tamrin pada tahun 1966, ketika bersara sebagai brigedier jeneral, dijadikan pedoman. Ucapan tersebut menegaskan tiga komponen yang harus dipatuhi oleh angkatan tentera, iaitu semangat muhibah dan harmoni terhadap semua kaum, disiplin yang ketat, serta kesetiaan seratus peratus kepada raja, negara, dan kerajaan.

Pada masa yang sama, baginda bertitah supaya peringatan Allahyarham Ibrahim Ismail sebelum bersara daripada jawatan ketua turus Angkatan Tentera, ketika berlangsungnya Konferensi Pegawai Kanan Tentera pada tahun 1977, juga dijadikan panduan

Titah Sultan Nazrin, nasihat tersebut bertujuan memastikan demokrasi dapat subur di Malaysia, supremasi awam dipertahankan, hakikat masyarakat pelbagai kaum diterima, kedaulatan undang-undang dilaksanakan, pertukaran kerajaan berlangsung secara teratur, dan hak asasi manusia dihormati

Sementara itu, pada majlis istiadat hari ini, Sultan Nazrin mewakili Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mentauliahkan 1,435 Palapes terdiri 20 UA, termasuk 35 pegawai yang menerima Anugerah Pegawai Terbaik iaitu 16 (Darat), 11 (Laut) dan lapan (Udara).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.