
Laporan polis itu dibuat Penyelaras Gerak Gempur Jentera Pemuda PN PRK Mahkota Shazni Sulaiman bersama ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, di IPD Kluang.
Menurut laporan itu, karnival dua hari yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi itu ‘memperkudakan jentera kerajaan’ sebagai kempen dan ‘menyogok pengundi’ dengan menawarkan hadiah bernilai ribuan ringgit termasuk motosikal dan peralatan elektrik.
“Kita lihat calon BN (Syed Hussien Syed Abdullah) juga hadir bersama menteri besar atas nama Jelajah Orang Mahkota,” kata Shazni kepada pemberita.
“Sebanyak 18 aktiviti sepanjang dua hari penganjurannya dan jutaan wang ringgit digunakan untuk membawa masuk artis. Kakitangan kerajaan pula dikerah untuk hadir sebagai petugas dan pengunjung.”
Tindakan itu jelas suatu kesalahan sogokan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, katanya sambil menggesa polis serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak atas laporan dibuat.
“BN kata ini bukan kempen tetapi karnival rakyat … ia jelas suatu pembohongan kerana calon mereka sendiri mengiringi Onn hampir di semua acara berkenaan,” katanya.
PRK Mahkota membuka gelanggang dengan penamaan calon pada 14 Sep lepas, menyaksikan BN mempertaruhkan Syed Hussien, yang juga ketua Pemuda Umno Kluang, manakala PN mencalonkan Mohamad Haizan Jaafar, ahli jawatankuasa Bersatu Kluang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 Sept, manakala pengundian awal pada 24 Sept.