Hilman Idham tanding ketua Pemuda Bersatu

Hilman Idham tanding ketua Pemuda Bersatu

Adun Gombak Setia berkata beliau menghantar borang pencalonan di ibu pejabat parti 9 pagi tadi.

Hilman Idham berkata pentas pemilihan kali ini mesti berlandaskan semangat dan prinsip perpaduan, inklusif dan keterbukaan untuk merangkul bakat baharu dalam kalangan anak muda Bersatu.
PETALING JAYA:
Hilman Idham mengumumkan bertanding jawatan ketua Pemuda Bersatu pada pemilihan parti akan datang.

Adun Gombak Setia berkata, beliau menghantar borang pencalonan bagi jawatan itu di ibu pejabat parti 9 pagi tadi.

“Armada yang ada pada hari ini telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik. Apa yang berlaku sekarang adalah untuk menjamin kelangsungan dan kesinambungan parti pada masa akan datang.

“Maka sayap Pemuda yang progresif dan dinamik perlu dimartabatkan segera bagi memastikan parti dapat berkembang dengan baik,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, pentas pemilihan kali ini mesti berlandaskan semangat dan prinsip perpaduan, inklusif dan keterbukaan untuk merangkul bakat baharu dalam kalangan anak muda Bersatu.

“Pemilihan ini akan berlangsung dengan penuh semangat kekeluargaan dalam suasana harmoni. Sesungguhnya, demokrasi yang subur akan menjamin masa depan Bersatu sebagai wadah politik yang unggul, wibawa dan kekal menjadi pilihan rakyat,” katanya.

Izhar Shah Arif Shah

Hilman turut mengumumkan Adun Seberang Jaya Izhar Shah Arif Shah akan bertanding jawatan naib ketua Pemuda.

Pada 10 Sept lalu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada pemilihan Oktober ini, selepas mengambil kira beliau melepasi had usia untuk terus memegang jawatan dalam sayap itu.

Katanya, sehubungan itu Pemuda Bersatu dalam mesyuarat bersama Presiden Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Ronald Kiandee turut bersetuju Zahin Zainal bertanding sebagai ketua Pemuda, manakala Faiz Rahman calon naib ketua Pemuda.

Pada Ogos 2020, Wan Fayhsal menang pemilihan ketua Pemuda Bersatu dengan menewaskan pesaing tunggal Muzzammil Ismail yang merupakan exco Pemuda ketika itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.