
Pengesahan itu dibuat oleh seorang pegawai Hamzah selepas menghantar borang pencalonan bagi pihak Ahli Parlimen Larut itu di Ibu Pejabat Bersatu pada 11 pagi tadi.
Hamzah, yang menyandang jawatan setiausaha agung bagi penggal 2020-2023, akan bertanding untuk jawatan yang kini dipegang Ahmad Faizal Azumu.
Difahamkan, Ahmad Faizal akan bertanding bagi jawatan naib presiden, memberi laluan kepada Hamzah untuk merebut jawatan timbalan presiden, susulan keputusan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Pada 13 Julai lepas, Muhyiddin berkata, beliau telah diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk berunding dengan barisan kepimpinan parti bagi memastikan pemilihan bulan depan itu tidak mengakibatkan perpecahan dalam parti.
Menurut Muhyiddin, Azmin Ali pula ditawarkan jawatan setiausaha agung.
Difahamkan, calon lain yang turut menghantar borang pencalonan bagi pemilihan termasuk Radzi Jidin untuk jawatan naib presiden, manakala Tun Faisal Ismail Aziz dan penyandang ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menawarkan diri bagi kerusi MPT.
Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Ahli Parlimen Machang, tidak bertanding bagi jawatan ketua Pemuda kerana telah melepasi had usia untuk terus memegang jawatan dalam sayap parti itu.
Sementara itu, Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN, Akmal Zahin Zainal Zahir menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan ketua Pemuda, manakala Penolong Setiausaha Pemuda Muhammad Faiz Rahmad, pula mencalonkan diri sebagai timbalan ketua Pemuda.
Adun Gombak Setia Hilman Idham dalam sidang media berasingan turut mengumumkan bertanding jawatan ketua Pemuda.
Musim pemilihan parti bermula dengan proses pencalonan pada peringkat bahagian di seluruh negara bermula semalam manakala proses pencalonan peringkat pusat bagi jawatan MPT, pimpinan tiga sayap parti Srikandi, Pemuda, Srikandi Muda dan Bersekutu Pusat dijalankan hari ini.
Tarikh persidangan bagi peringkat bahagian parti adalah pada 12 hingga 26 Okt.