Lawatan agensi, syarikat kerajaan ke luar negara perlu kelulusan menteri, kata Anwar

Lawatan agensi, syarikat kerajaan ke luar negara perlu kelulusan menteri, kata Anwar

Perdana menteri berkata, terdapat lembaga dalam syarikat mahupun agensi kerajaan yang dilihat membuat keputusan memihak kepentingan sendiri.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Anwar Ibrahim berkata, beliau membatalkan satu permohonan membabitkan kementerian dan agensi kerajaan yang mendaftar 68 kakitangan menghadiri satu pameran kecil di Berlin. (Gambar Bernama)
PUCHONG:
Semua projek, lawatan dan tugasan ke luar negara membabitkan kementerian, syarikat serta agensi kerajaan perlu dirujuk ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan serta mendapat kelulusan menteri berkenaan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata terdapat lembaga dalam syarikat mahupun agensi kerajaan yang dilihat membuat keputusan memihak kepentingan sendiri.

Menteri kewangan itu berkata, beliau sendiri membatalkan satu permohonan membabitkan kementerian dan agensi kerajaan yang menurutnya mendaftar sehingga 68 kakitangan menghadiri satu pameran kecil di Berlin, Jerman.

“Walaupun tiket hotel dan penerbangan telah disediakan, saya batalkan kerana jumlah yang didaftakan terlalu ramai. Hanya sebahagian kecil mungkin diperlukan untuk tugasan tersebut. Ini pelanggaran peraturan. Ini dana rakyat dan kita harus bertanggungjawab.

“Saya semalam telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara (Shamsul Azri Abu Bakar), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), semua ketua setiausaha dan ketua jabatan untuk menegaskan pendirian kerajaan dan minta kerjasama mereka dalam hal ini.”

Anwar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam di sini.

Beliau berkata, semua menteri bertanggungjawab terhadap sebarang kelulusan diberikan.

“Menteri yang ingin melawat mana-mana negara perlu mengemukakan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri dan biasanya kita akan menilai semula sama ada perlu membawa kakitangan tertentu atau tiada keperluan sama sekali.

“Atau lebih baik tangguhkan saja lawatan tersebut dan sekalikan dengan lawatan perdana menteri, di mana MoU (memorandum persefahaman) boleh turut ditandatangani dalam majlis sama. Ini akan jimat belanja.”

Menurutnya, reformasi dalam kerajaan perlu dilakukan secara berterusan dan sebarang pelanggaran kepada usaha itu tidak boleh dibiarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.