
KUANTAN: Kertas siasatan berhubung dakwaan seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu menyerang seorang lelaki di sebuah kandang kuda di sini Jun lepas dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya (DPP).
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sedang menunggu arahan lanjut pihak berkenaan.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebelum ini bertitah, tiada siapa pun mengatasi undang-undang, termasuk kerabat diraja dan baginda mahu siasatan itu dilakukan segera, telus, adil serta tegas tanpa kompromi mana-mana pihak.
Pada 5 Sept lalu, media melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan mendakwa diserang sekumpulan individu, termasuk seorang kerabat diraja Pahang menyebabkannya cedera di paha, luka di kaki serta menerima beberapa jahitan.