
Seorang bekas anggota GISBH mendedahkan pemimpin mereka juga mendakwa mampu berhubung dengan Rasulullah melalui yaqazah (dalam keadaan sedar) dan segala arahan daripada pemimpin wajib ditaati sepenuhnya.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 36, mendakwa pendidikan di sekolah kendalian GISBH menjadi platform menanam ketaasuban ahli, terutama dalam kalangan kanak-kanak terhadap pemimpin mereka.
Menurutnya, silibus dicipta sendiri di sekolah terbabit lebih menekankan kata-kata dan tulisan pemimpin, manakala pelajaran lain seperti fardu ain hanya diajar pada tahap asas.
“Pengajaran dalam kelas hanya untuk jangka pendek dan kadangkala tiada cikgu pun yang mengajar, manakala untuk pelajaran lain banyak diulang-ulang,” katanya kepada Bernama.
Dilahirkan dalam keluarga mengamalkan ajaran al-Arqam, Ahmad mendedahkan bapanya antara pemimpin pergerakan itu yang difatwakan haram pada 1994.
Katanya, zaman kanak-kanaknya dilalui di penempatan pergerakan itu di sekitar Perak, sebelum dipindahkan ke Rawang, Selangor diikuti Putrajaya, Kedah, Sabah dan Sarawak, sebelum ke luar negara iaitu Jordan dan Syria.
Beliau meninggalkan jemaah atau syarikat itu pada 2011, selepas mendapat kesedaran apabila belajar daripada beberapa guru agama bukan dalam kalangan ahli syarikat tersebut.
“Saya meninggalkan syarikat berkenaan selepas kematian bekas pemimpin al-Arqam, Ashaari Muhammad dan ketika itu syarikat berkenaan dipimpin Ummu Jah yang juga balu Ashaari.”
Seorang lagi bekas anggota GISBH dikenali sebagai Latif mendedahkan, ketika bersekolah di bawah kendalian syarikat itu, mereka diajar menggunakan buku mengagungkan Ashaari yang digelarkan Abuya.
“Mereka mengaku sebagai jemaah kebenaran yang akan bersama Imam Mahdi nanti. Jadi, semua dah taksub. Proses ni bukan berlaku dalam masa sehari dua, tapi sejak zaman al-Arqam.”
Latif, yang kini berusia 30-an mendakwa pernah belajar di beberapa sekolah GISBH di Pahang, Selangor dan Perak selepas dihantar ibu bapanya yang perkahwinan mereka diatur jemaah itu.
“Sekolah itu biasanya kosong dan pelajar sering bermain kerana pelajaran tidak dijalankan secara formal,” katanya yang meninggalkan GISBH selepas mengikut rakannya ke pusat latihan kemahiran kendalian kerajaan pada usia 17 tahun dan menyedari kepentingan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dimilikinya ketika itu.
Abu Bakar, 36, pula mendedahkan beliau meninggalkan GISBH pada 2010 selepas menyedari diri tidak memiliki pendidikan formal seperti remaja lain.
“Saya tertanya-tanya mengapa saya tidak belajar seperti orang lain, tetapi diminta berjuang untuk bertemu Imam Mahdi dan disebabkan rasa ingin tahu yang menebal, saya ambil keputusan untuk keluar.”
Beliau mengakui beberapa kali cuba melarikan diri, tetapi ditangkap dan dibawa ke dalam jemaah sehingga ibunya meninggalkan pergerakan itu selepas diceraikan ayahnya atas arahan pemimpin, menyebabkan mereka tidak lagi dicari jemaah.
Dalam serbuan Op Global 11 Sept lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh serta seksual.
Serbuan itu turut mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan 171 individu, termasuk 105 wanita.