
Presiden TI-M, Muhammad Mohan menggesa Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional menemui masyarakat sivil serta pakar untuk melantik panel bebas memantau projek MRT3 melalui pakatan integriti sewajarnya.
Untuk hasil terbaik, katanya, rundingan perlu dimulakan sebelum dokumen tender dimuktamadkan dan ditetapkan.
Beliau dalam kenyataan berkata, pakatan integriti dibangunkan Transparency International pada 1990-an untuk membantu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil mencegah rasuah dalam kontrak awam.
Menurunya, pakatan integriti di Malaysia diperkenalkan melalui pekeliling kementerian.
Model itu termasuk komitmen untuk pihak berkuasa berkontrak dan pembida berhubung integriti serta langkah antirasuah serta sekatan bagi ketidakpatuhan.
Tetapi, apa yang kurang ialah ia tidak mewujudkan mekanisme pemantauan bebas.
Muhammad berkata, perjanjian perlu dimeterai dengan pakar teknikal bebas di luar kerajaan yang ditugaskan memantau dan melaporkan kemajuan serta kualiti penyampaian projek kepada rakyat.
Bulan lalu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkata, ia akan menjalankan pemeriksaan awam tiga bulan untuk projek MRT3 bermula 2 Sept hingga 2 Dis bagi orang ramai menyemak dan memberi maklum balas berhubung cadangan penjajaran, tapak, pelan konteks serta butiran projek penting lain.
Projek sepanjang 51km itu akan disepadukan dengan laluan MRT, transit aliran ringan, Keretapi Tanah Melayu Bhd dan monorel sedia ada melalui 10 stesen pertukaran serta sambungan.