Tak terima peruntukan bukan kiamat dalam politik kami, tegas Wan Fayhsal

Tak terima peruntukan bukan kiamat dalam politik kami, tegas Wan Fayhsal

Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebaliknya gesa RUU berkait dana pembangunan kawasan Parlimen yang disokong pembangkang disegerakan.

Wan Ahmad Fayhsal
Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata beliau secara peribadi tak ada masalah sekiranya tidak diberi peruntukan.
PETALING JAYA:
Kelangsungan politik Perikatan Nasional tak akan mati walaupun mereka menolak memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan untuk pembangkang, tegas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Fayhsal berkata beliau secara peribadi tak ada masalah sekiranya tidak diberi peruntukan, namun pemerintah harus telus tentang ke mana ia disalurkan supaya beliau boleh beri penjelasan kepada rakyat di kawasannya.

“Tidak menerima peruntukan itu bukan perkara yang kiamat dalam politik kami, malah ianya akan membantu kami dapat lebih sokongan dalam PRU16,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru oleh Astro Awani malam tadi, bersama setiausaha politik kepada menteri kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim; dan pengasas bersama Undi18, Tharma Pillai.

“Tetapi saya minta kerajaan nyatakan sebanyak mana yang diturunkan daripada ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan), contohnya kepada mana-mana pihak kawasan Parlimen saya supaya rakyat Machang boleh tahu NGO, ketua kampung mana sudah memiliki peruntukan yang sepatutnya saya dapat tapi dapat kepada mereka.

“Kita boleh ‘move on’. Tak ada peruntukan sepanjang sesi ini. Tapi demi rakyat saya saya perlu jelaskan pada mereka keadilan peruntukan telah disalurkan melalui pihak lain.”

Dalam pada itu, Wan Fayhsal menggesa rang undang-undang berkait dana pembangunan kawasan Parlimen yang disokong pembangkang disegerakan pada sesi akan datang.

“Itu agenda reformasi yang kami akan sokong sepenuhnya, seperti yang dicadangkan oleh ramai Ahli Parlimen termasuk dalam pihak kerajaan,” katanya.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pada 15 Sept lepas mengumumkan Ahli Parlimen PN sebulat suara menolak draf cadangan MoU daripada kerajaan.

Hamzah mendakwa draf itu bertentangan Perlembagaan, dengan beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau juga mendakwa draf itu mengandungi syarat-syarat yang bertentangan dengan nilai budaya dan agama, tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas, dan mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bagaimanapun menjawab dakwaan Hamzah dengan berkongsi draf tersebut, mengatakan niat kerajaan adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni, dan supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada pemulihan ekonomi, antara lain.

Semalam, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan dilaporkan meminta kerajaan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan MoU peruntukan pembangkang.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun membidas tindakan pemimpin PN kerana ‘riuh’ tentang draf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.