‘Sedekah’ RM300 kepada Mastura, Lip Eng beritahu pemimpin PAS

‘Sedekah’ RM300 kepada Mastura, Lip Eng beritahu pemimpin PAS

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata Ahli Parlimen Kepala Batas itu lebih memerlukan wang berkenaan berbanding rakannya, Teresa Kok.

lim mastura
Lim Lip Eng berkata, Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad boleh menggunakan wang itu untuk mengupah penyelidik menjalankan kajian politik teliti sebelum menyampaikan ucapannya.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP mencadangkan RM300 yang ditawarkan PAS kepada rakannya, Teresa Kok bagi mengupah penterjemah susulan isu pensijilan halal, “disedekahkan” kepada Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng meminta Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyumbang wang itu kepada Mastura yang lebih memerlukannya berbanding Kok.

“Saya cadangkan sumbangan ini disedekahkan kepada Mastura bagi membolehkan beliau mengupah penyelidik menjalankan kajian politik teliti sebelum menyampaikan ucapannya, khususnya isu mengenai DAP,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Kok menyalahkan ChatGPT atas kesilapan terjemahan kenyataannya berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi semua premis makanan tidak menjual daging babi dan alkohol.

Kok yang sedang disiasat berhubung kenyataannya, dilaporkan berkata kenyataan Mandarin asalnya diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh rakan sekerja menggunakan ChatGPT sebelum disiarkan di Facebook.

Ini menyebabkan Fadhli menyuarakan hasrat menyumbang RM300 sebulan kepada Kok untuk mengupah pembantu berkelulusan SPM mengendalikan terjemahan bahasa Melayu.

Lim merujuk keterangan Mastura di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam saman fitnah difailkan tiga pemimpin DAP selepas wanita itu mengaitkan mereka dengan mendiang ketua komunis, Chin Peng.

Mastura memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa ucapan awam seperti dalam ceramah tidak memerlukan kajian mendalam seperti kertas tesis.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, tokoh politik tidak mengikut piawaian lazim digunakan dalam tetapan akademik atau penyelidikan, selain memetik khabar angin boleh diterima selagi ucapan itu tidak bertentangan Perlembagaan.

Lim berkata, sebagai pemegang PhD, Mastura sepatutnya lebih berhati-hati menjadikan sumber tidak sah sebagai rujukan, “yang pada dasarnya adalah cerita dongeng”.

Katanya, “sedekah” itu pasti dapat membantu Mastura mengelak membuat kenyataan tidak berasas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.