Lantik segera hakim besar Malaya, gesa Majlis Peguam

Lantik segera hakim besar Malaya, gesa Majlis Peguam

Jawatan hakim besar Malaya kosong sejak 29 Feb lalu, selepas Mohamad Zabidin Mohd Diah bersara wajib.

Ezri Abdul Wahab
Presiden Majlis Peguam, Ezri Abdul Wahab berkata, kekosongan jawatan hakim besar Malaya boleh menjejaskan persepsi kestabilan dan kepemimpinan dalam badan kehakiman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Peguam menggesa jawatan hakim besar Malaya yang kosong sejak 29 Feb lalu diisi segera.

Presidennya, Ezri Abdul Wahab yang mempersoalkan kelewatan pelantikan itu berkata, kekosongan jawatan utama berkenaan boleh menjejaskan persepsi kestabilan dan kepemimpinan dalam badan kehakiman.

Walaupun jawatan itu kini dipangku Abang Iskandar Abang Hashim, katanya, beliau masih perlu menjalankan tugasnya sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

“Kedua-dua jawatan ini memiliki perbezaan, masing-masing dengan tanggungjawab tersendiri yang memfokuskan peringkat mahkamah berbeza.

“Jawatan ini sebelumnya dipegang individu berlainan juga menekankan kepentingan mengekalkan pemisahan fungsi kehakiman kritikal ini,” katanya dalam kenyataan.

Hakim besar Malaya sebelum ini disandang Mohamad Zabidin Mohd Diah yang bersara wajib 29 Feb lalu.

Ezri berkata, peranan hakim besar Malaya bukan sekadar simbolik, tetapi penting dalam mengawasi badan kehakiman, memastikan pentadbiran keadilan berjalan lancar dan melindungi kebebasan mahkamah.

“Kami yakin badan kehakiman negara ada hakim berkemampuan, berpengalaman dan sangat berkelayakan yang lebih daripada bersedia untuk mengambil alih peranan sebagai hakim besar Malaya.

“Tanpa ragu, hakim kita sudah menghabiskan bertahun-tahun dalam bidang undang-undang untuk memimpin badan kehakiman,” katanya.

Beliau berkata, hakim besar Malaya memegang banyak fungsi penting, antaranya bertanggungjawab dalam pengagihan kes antara hakim Mahkamah Tinggi.

“Sebarang kelewatan dalam mengisi kekosongan jawatan hakim besar Malaya berisiko menjejaskan kemajuan dicapai badan kehakiman dan menghalang pentadbiran keadilan berkesan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.