Kerajaan negeri digesa bersama modenkan pentadbiran tanah

Kerajaan negeri digesa bersama modenkan pentadbiran tanah

Perdana menteri berkata, selain meningkatkan kecekapan tadbir urus demi kepuasan rakyat dan pelabur, ia juga antara kayu ukur dalam penilaian Bank Dunia.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim menekankan kepentingan melipatgandakan produktiviti guna tanah dan tidak hanya bergantung kepada keluasan kawasan dalam mencapai matlamat negara.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggesa kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan menjayakan hasrat memodenkan pentadbiran tanah.

Menerusi hantaran Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-81 pagi tadi, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, selain meningkatkan kecekapan tadbir urus demi kepuasan rakyat dan pelabur, ia juga antara kayu ukur dalam penilaian Bank Dunia.

“Selain itu, saya turut tekankan kepentingan melipatgandakan produktiviti guna tanah dan tidak hanya bergantung kepada keluasan kawasan semata-mata dalam mencapai matlamat negara.

“Alhamdulillah, mesyuarat menerima baik segala pandangan amalan terbaik yang turut dikongsi kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat itu platform bagi Putrajaya dan kerajaan negeri berbincang dasar berkaitan pentadbiran tanah, selain antara pemangkin kepada konsep kerajaan Madani yang mengupas keperluan rakyat dari aspek pertumbuhan ekonomi serta tatakelola berkesan.

Pada masa sama, beliau meminta persefahaman dan permuafakatan kerajaan negeri untuk mengimbangi keutamaan negeri dengan dasar di peringkat persekutuan, khususnya agar selaras komitmen kerajaan di medan antarabangsa.

“Antaranya terkait iltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% litupan kawasan berhutan sebagai langkah adaptasi dan mitigasi bagi mengimbangi kesan perubahan iklim serta pemuliharaan biodiversiti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.