Kerajaan lihat kaedah jangka panjang jaga pokok tua, kata Zahid

Kerajaan lihat kaedah jangka panjang jaga pokok tua, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata usaha jangka masa panjang itu bagi mengelak pokok-pokok yang mempunyai nilai tinggi daripada ditebang.

pokok tumbang
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kaedah tertentu harus digunakan supaya pokok itu terus ada dan tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat sekitar ataupun yang melalui kawasan berkenaan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan akan melihat usaha jangka panjang bagi penjagaan pokok khususnya yang telah tua tanpa menggunakan kaedah tebang semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid yang juga menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata terdapat koordinasi antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meneliti kaedah untuk menjaga dan mempertahankan pokok yang telah tua serta mempunyai nilai tinggi.

“Namun, dari segi praktikalnya, kita harus melihat bagaimana usaha jangka masa panjang dapat dibuat agar (pokok-pokok itu) tidak ditebang.

“Ia harus menggunakan kaedah tertentu supaya pokok itu terus ada dan tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat sekitar ataupun yang melalui kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 “Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa”.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai insiden pokok tumbang bersama bongkah konkrit di George Town, Pulau Pinang semalam yang menghempap kereta dinaiki seorang lelaki dan anak perempuannya sehingga menyebabkan kedua-dua pelancong dari China itu meninggal dunia.

Terdahulu, Jabatan Bomba dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 2,575 panggilan kecemasan melibatkan kejadian pokok tumbang diterima bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi.

Menurut kenyataan itu, 441 kes pokok tumbang direkodkan di Selangor, diikuti 321 di Perak dan 264 di Sarawak dengan lapan kematian dicatatkan, 27 mangsa mengalami pelbagai kecederaan manakala 37 lagi selamat.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dipertingkatkan dalam semua aspek penjagaan kanak-kanak termasuk dalam isu yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) agar pembentukan sahsiah dan peribadi tidak diketepikan supaya masa depan mereka dapat dibina semula.

Ditanya sama ada kerajaan akan meneliti garis panduan penubuhan rumah amal, Zahid berkata Jemaah Menteri membincangkan perkara berkenaan dan melihat aspek berbeza dalam pembahagian tugasan mengikut skop agensi dan jabatan.

“Kita serahkan kepada polis untuk lihat aspek jenayah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta jabatan agama negeri pula dari segi akidah atau pegangan. Kebajikan di bawah JKM dan aspek ini penting untuk memberikan kesinambungan apa yang mereka (kanak-kanak) lalui.

“Pada pendapat saya, Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Tinggi boleh melihat soal pelajaran (kanak-kanak) terutama dalam bidang akademik atau Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar mereka mempunyai masa depan sendiri serta tidak terikat dengan kejadian yang dilalui dalam organisasi berkenaan,” katanya.

Pada 11 Julai lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan serta menyelamatkan 402 individu masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur lingkungan setahun hingga 17 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.