Harimau Malaya naik 2 anak tangga di ranking ke-132 dunia

Harimau Malaya naik 2 anak tangga di ranking ke-132 dunia

Skuad kendalian Pau Marti Vicente itu mengumpul keseluruhan 1,117.64 mata untuk meningkat daripada posisi ke-134 dunia yang dihuni sejak 18 Julai lepas.

harimau malaya pestabola
Peningkatan itu susulan kejayaan Harimau Malaya menamatkan kemarau 11 tahun muncul juara saingan Pestabola Merdeka 2024 awal bulan ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Skuad Harimau Malaya melonjak dua anak tangga untuk menduduki tempat ke-132 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) hari ini.

Menurut www.fifa.com, skuad kendalian Pau Marti Vicente itu mengumpul keseluruhan 1,117.64 mata untuk meningkat daripada posisi ke-134 dunia yang dihuni sejak 18 Julai lepas.

Perkembangan positif itu dicapai susulan kejayaan menamatkan kemarau 11 tahun muncul juara saingan Pestabola Merdeka 2024 dari 2 hingga 10 Sept lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini yang disertai juara bertahan Tajikistan, Lubnan dan Filipina.

Bagaimanapun, Malaysia masih jauh ketinggalan negara Asia Tenggara lain, antaranya Vietnam di kedudukan ke-116 dan Thailand ke-100.

Bagi zon Asia, lima pasukan terbaik ialah Jepun di ranking ke-16 dunia, Iran (ke-19), Korea Selatan (ke-23), Australia (ke-25) dan Arab Saudi (ke-56).

Sementara itu, juara Piala Dunia 2022 Argentina kekal pasukan nombor satu dunia, diikuti Perancis di tempat kedua, Sepanyol (ketiga), England (keempat) dan Brazil melengkapkan pasukan lima teratas dalam ranking Fifa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.