3 lelaki dikaitkan GISBH didakwa amang seksual kanak-kanak

3 lelaki dikaitkan GISBH didakwa amang seksual kanak-kanak

Tertuduh yang juga pembantu pelajar sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah atas 14 tuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban.

Tiga pekerja sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas 14 tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga pembantu pelajar yang dipercayai ada kaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas 14 tuduhan amang seksual fizikal kanak-kanak di sebuah madrasah di Kuala Pilah.

Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, masing-masing berdepan lima, enam serta tiga pertuduhan, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan sentuhan fizikal secara seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki yang tiga daripadanya adalah adik-beradik, berusia antara sembilan hingga 11 tahun.

Kesalahan itu dilakukan antara 2022 hingga 2023 di sebuah madrasah di Kuala Pilah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Habib Noh turut didakwa bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan suatu amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 10 tahun dan boleh dihukum mengikut akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Surita kemudiannya membenarkan ikat jamin RM12,000 untuk setiap tuduhan yang dihadapi setiap tertuduh dan menetapkan 30 Okt ini untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan laporan kesihatan.

Minggu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dikaitkan dengan GISBH serta menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berumur setahun hingga 17 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.