
Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari daripada PKR yang dilaporkan berkata, PN sepatutnya mencadangkan MoU alternatif mengenai peruntukan Ahli Parlimen pembangkang, bukannya mengkritik versi dicadangkan kerajaan.
Ronald yang juga ketua whip Bersatu turut mendakwa “draft MoU luar biasa” yang disediakan kerajaan baru-baru ini menunjukkan mereka tidak berniat memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
“Draf cadangan ‘luar biasa’ itu mengekang kita daripada bersuara, sedangkan apa saja perbahasan di Parlimen tertakluk kepada peraturan mesyuarat dan Akta Hasutan masih berkuat kuasa.
“Kenapa mesti ‘highlight’ syarat luar biasa,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mendakwa MoU ditolak gabungan itu bertujuan menyekat keupayaan Ahli Parlimennya menyuarakan kebimbangan pengundi, khasnya isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R).
Hari ini, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan dilaporkan meminta kerajaan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan MoU peruntukan pembangkang.
Katanya, semua yang terkandung dalam draf MoU itu tidak boleh diterima dan beliau mahu kedua-dua pihak membincangkan draf MoU baharu bersama.