Hati-hati umum status halal produk dan pengusaha, Fomca beritahu Jakim

Hati-hati umum status halal produk dan pengusaha, Fomca beritahu Jakim

Nur Asyikin Aminuddin dari Fomca berkata Jakim perlu beri penjelasan lengkap untuk elak pengguna keliru seperti berlaku babit beberapa premis popular, awal bulan ini.

Status pensijilan halal bagi sesebuah produk baik barangan asas atau makanan dapat menghilangkan keraguan orang Islam untuk menggunakannya.
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu berhati-hati apabila mengumumkan status pensijilan halal sesebuah syarikat atau produk perniagaan bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai sehingga merugikan entiti terbabit.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Nur Asyikin Aminuddin berkata kenyataan Jakim sebagai agensi mentadbir hal ehwal Islam termasuk berkait isu halal mesti tepat berdasarkan maklumat tepat.

“Jakim perlu menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kenyataan (status sijil halal) tersebut untuk mengelakkan keraguan orang Islam terhadap hidangan dimakannya atau produk digunakan,” katanya kepada FMT.

Pada 2 September Jakim mengumumkan beberapa premis makanan popular tidak memiliki sijil halal iaitu Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Ayam Penyet Best, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

Bagaimanapun, Ayam Penyet Best menegaskan empat daripada 15 cawangannya mempunyai sijil halal Jakim manakala Dolly Dim Sum menjelaskan dapur pusatnya juga telah mendapat pengesahan terbabit berkuat kuasa 1 Ogos 2024.

Dolly Dim Sum juga dalam proses mendapatkan pensijilan halal untuk semua cawangannya. Sementara itu, Johnny’s Restaurants dan Black Canyon menegaskan bahan mentah diperolehi dari pembekal diiktiraf halal oleh Jakim.

Pada Mei 2014, Jakim pernah menggantung serta merta sijil pengesahan halal bagi dua produk coklat Cadbury yang didakwa mempunyai DNA babi (porcine), namun dua bulan kemudiannya membuat pusingan U, dengan memaklumkan tiada unsur sedemikian selepas siasatan dibuat.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan di kalangan komuniti perniagaan berhubung keberkesanan sistem pemeriksaan dan pangkalan data digunakan Jakim, selain ketepatan serta kekerapannya dikemas kini.

Bagi menyelesaikan isu terbabit, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon menyarankan Jakim memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan rantaian blok (blockchain) dalam semua hal berkait pensijilan halal.

“Menerusi penerapan teknologi, peningkatan komunikasi serta bimbingan berterusan, DPMM yakin proses pensijilan halal menjadi lebih cekap, telus dan mesra usahawan, sekali gus memperkuatkan daya saing industri halal di Malaysia.

“DPMM juga mengharapkan penyelarasan lebih baik antara Jakim dan jabatan agama Islam negeri lain tanpa menghadapi peraturan berbeza,” katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali turut berpendapat Jakim juga perlu menambah baik sistem pengurusan pensijilan halal walaupun pihaknya tiada masalah sepanjang berurusan dengannya.

“Jabatan ini sangat proaktif dalam memastikan aspek pensijilan halal, namun saya bersetuju sekiranya ia perlu ditambah baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.