
Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mahadzir Maghrib memberitahu FMT, kejadian berlaku pada 2.19 petang tadi dan kematian mangsa disahkan pegawai perubatan.
Ketua Operasi yang juga Penguasa Bomba Zon Daerah Timur Laut, Muhammad Syafiq Noor Azman, berkata dua warga China itu terdiri daripada seorang wanita 30-an dan seorang lelaki 50-an.
Mangsa wanita berada di tempat duduk penumpang depan, manakala lelaki itu duduk di belakang.
Syafiq berkata, mayat mangsa dikeluarkan pada 5.15 petang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, seorang saksi melihat pemandu kereta itu sempat melarikan diri sebelum pokok tumbang, tetapi dia belum ditemui ketika berita disiarkan.
Katanya, pokok tumbang itu turut menyebabkan sebahagian lot kedai berrdekatan ranap.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancang Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye dalam sidang media berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menentukan siapa bertanggungjawab terhadap kejadian itu kerana pokok terbabit milik persendirian.
“Memandangkan ia milik persendirian, pemeriksaan pokok tidak dijalankan. Tetapi, pemeriksaan pokok akan termasuk dalam harta persendirian.”
Beliau menggesa penduduk Pulau Pinang berhati-hati kerana ramalan cuaca menjangkakan angin kencang berterusan sehingga 21 Sept ini.
“Mungkin ada ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan.”
Dalam perkembangan lain, dua parah selepas sebuah kereta dan motosikal dihempap pokok tumbang di Jalan Kamunting dekat Taman Glen View berhampiran Kamunting.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pokok tumbang menghempap sebuah Perodua Alza dan motosikal Yamaha Y15 pada 12.53 tengah hari tadi.
Katanya, penunggang motosikal lelaki berusia 40-an dan seorang lagi mangsa dipercayai anak perempuannya (berusia anggaran 15 tahun) tidak sedarkan diri ketika bomba tiba.
Beliau dipetik Bernama berkata, dua daripada lima wanita menaiki Perodua Alza cedera ringan, manakala tiga lagi tidak cedera. Semuanya berumur 16 hingga 35 tahun.