PBT perlu main peranan tingkat penyenggaraan jalan rosak, kata perancang bandar

PBT perlu main peranan tingkat penyenggaraan jalan rosak, kata perancang bandar

Mohd Zamreen Mohd Amin dari UiTM berkata sempadan PBT juga perlu diperkemas untuk mengimbangi kekuatannya mengurus kemudahan.

Jabatan Kerja Raya bertanggungjawab menguruskan 18,117km jalan persekutuan di seluruh negara.
PETALING JAYA:
Sering kali Jabatan Kerja Raya (JKR) menjadi ‘mangsa’ kritikan pengguna setiap kali kerosakan jalan raya dikesan, sedangkan laluan itu tidak termasuk dalam jalan persekutuan bawah tanggungjawabnya.

Keadaan itu menimbulkan persepsi negatif terhadap agensi terbabit yang bertanggungjawab menguruskan 18,117km jalan persekutuan di seluruh negara pada masa kini, yang tugas itu bukannya mudah.

Ada beberapa kategori jalan dan pihak bertanggungjawab ke atasnya yang perlu diketahui pengguna untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan membuat aduan, antaranya seperti berikut:

  •  Jalan negeri: Kerajaan negeri
  •  Lebuh raya bertol: Syarikat konsesi
  •  Jalan bandaran: Pihak berkuasa tempatan
  •  Jalan pertanian: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
  •  Jalan kampung: PBT, pejabat daerah dan JKR (di Sarawak)

Bagi memperkemaskan aspek itu, seorang pakar pengangkutan dan jalan raya Mohd Zamreen Mohd Amin berkata semua pihak sepatutnya mengambil tanggungjawab termasuk mendidik pengguna dari segi bidang kuasa pengurusan dan penjagaan.

Perancang bandar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berpendapat, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dekat dalam pengurusan kemudahan di kawasan pentadbiran seharusnya memainkan peranan lebih besar dan mengurangkan beban tekanan aduan dihadapi JKR.

“PBT adalah pemain utama untuk memastikan kemudahan termasuk jalan raya diuruskan dengan baik terutama di bandar yang ramai penduduk. Mereka perlu bantu dengan menyediakan platform aduan lebih baik kepada komuniti untk berurusan demi keselesaan ramai,” katanya kepada FMT.

Kementerian Kerja Raya memperkenalkan aplikasi MYJalan untuk membuat aduan kerosakan jalan raya.

“Lebih bagus kalau aplikasi MYJalan (diperkenalkan Kementerian Kerja Raya) menjadi standard digunakan semua PBT dan kerajaan negeri.”

Zamreen berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga perlu memperkemaskan semula sempadan pentadbiran untuk mengimbangi kekuatan PBT dalam menguruskan kemudahan.

“Perlu lihat semula aspek ini bagi mengimbangi kekuatan PBT dengan sempadan yang besar, contohnya Shah Alam yang mempunyai ramai penduduk dan kawasan seliaan luas,” katanya.

Beliau berkata, PBT juga perlu mempunyai pakar dalam bidang pengangkutan yang mana ketika ini hanya terhad di perbandaran besar seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kawasan lain di luar bandar mungkin gerak kerjanya lebih kepada konsep ‘cuba jaya’, dilakukan tetapi belum pasti berjaya atau sebaliknya,” katanya.

Tahun lalu, Kementerian Kerja Raya memperkenalkan aplikasi MYJalan yang menerima laporan kerosakan jalan raya, lampu jalan serta lampu isyarat tidak berfungsi, cerun runtuh dan banjir, tanpa mengira kategori.

Menerusi dasar ‘No Wrong Door’, pengguna tidak perlu risau kerana setiap aduan disampaikan kepada pihak bertanggungjawab mengikut kategori jalan.

Statistik dari 1 Ogos tahun lalu hingga 6 Sept menunjukkan sebanyak 5,857 daripada 18,878 aduan membabitkan laluan diuruskan JKR dengan 5,378 atau hampir 91% aduan diselesaikan.

Sementara itu, 13,021 aduan (68.97%) disalur kepada agensi lain untuk diuruskan demi keselesaan pengguna.

Konsesi Infrasel Sdn Bhd lantikan kerajaan Selangor harus dipuji kerana menggunakan teknologi terkini yang dikenali Jetpatcher bagi mempercepatkan penyenggaraan jalan rosak di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.