Kembalikan peperiksaan Tahun 6, Tingkatan 3 tak selesai masalah 3M

Kembalikan peperiksaan Tahun 6, Tingkatan 3 tak selesai masalah 3M

Masalah 3M berpunca dari literasi peringkat awal yang hanya boleh diselesaikan menerusi pentaksiran bilik darjah dan pengajaran yang tak menjurus kepada peperiksaan.

Isu membaca, menulis, dan mengira ialah tentang pengajaran dan pembelajaran yang tidak berkesan, tegas pakar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mengembalikan semula peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 tidak akan menyelesaikan masalah membaca, menulis, dan mengira (3M), menurut pakar.

Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa, Ainol Madziah Zubairi, berkata masalah 3M berpunca dari literasi peringkat awal, yang hanya boleh diselesaikan menerusi pentaksiran bilik darjah dan pengajaran yang tidak menjurus kepada peperiksaan.

“Mari kembali kepada perkara asas iaitu kurikulum mesti dimantapkan dalam literasi 3M, jati diri, futuristik, adab dan rasa kepunyaan kepada negara serta budaya,” katanya kepada FMT.

“Membawa kembali peperiksaan tidak akan menyelesaikan masalah kita.”

Kelmarin timbalan perdana menteri menggesa dasar berkait peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 dirombak, selepas difahamkan kebanyakan daripada lebih 10,000 yang tidak menduduki SPM tahun lalu tidak boleh membaca, menulis, atau mengira.

Zahid Hamidi berkata Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi menyedari punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu, dalam perbincangan dengannya sebelum ini.

Ainol bagaimanapun mengingatkan pelajar yang tidak menduduki SPM pasca pandemik Covid-19 merupakan ‘situasi unik’ kerana pembelajaran dan pengajaran yang tergendala dalam tempoh 3 tahun akibat wabak.

Noor Azlan Ahmad Zanzali dari Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Pengajian Islam di Universiti Muhammadiyah Malaysia berkata isu 3M ialah tentang pengajaran dan pembelajaran yang tidak berkesan, bukannya peperiksaan berpusat.

Katanya, pentaksiran harus sebagai penunjuk untuk menambah baik pembelajaran, bukan mengukur pembelajaran semata-mata.

“Kita harus mula perkasakan ‘assessment for learning’ (pentaksiran untuk pembelajaran), bukan ‘assessment of learning’ (pentaksiran tentang pembelajaran),” katanya.

Anuar Ahmad dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia menyambut baik rombakan kerana berpendapat sistem sedia ada tidak begitu baik.

Menurutnya, kerajaan menggunakan sukatan pelajaran yang digubal semasa pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), yang masing-masing dimansuhkan pada 2021 dan 2022.

“Kalau nak laksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), sukatan pelajaran yang digunakan mestilah yang dirancang untuk pelaksanaan pentaksiran bilik darjah,” katanya kepada FMT.

“Kalau guna sukatan pelajaran untuk peperiksaan maka sukatan pelajaran itu akan berat kerana anak itu akan menghafal, belajar, diberi latih tubi untuk menjawab peperiksaan kerana itu cara nak dapat pentaksiran – sama ada mereka cemerlang atau tidak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.