
Isterinya, Hamidah Mohamed, 57, berkata Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada 1.55 pagi akibat kegagalan pelbagai organ.
Beliau berkata, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Darussalam, Kampung Stulang Bahru pada 9 pagi tadi.
“Allahyarham pergi menghadap ilahi dengan mudah dan ahli keluarga ada bersamanya.
“Proses pengurusan jenazah juga berjalan lancar dan Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Sungai Danga sekitar 11 pagi tadi,” katanya kepada Bernama.
Hamidah, yang menyifatkan Ahmad suami penyayang, berkata Allahyarham mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis serta pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana menghidap paru-paru berair tahun lepas.
Ahmad, yang mempunyai tujuh anak, dilantik gabenor BNM dari Mei 1994 hingga Ogos 1998 menggantikan Jaffar Hussein.
Beliau berpengalaman luas dalam bidang kewangan dan perbankan serta pernah memegang jawatan ketua pengarah eksekutif Maybank dari 1991 hingga 1994, selain menjadi pengerusi Lembaga Pengarah Alliance Bank Malaysia Bhd sejak 2017.