Ahli bersekutu bukti PAS tak rasis, kata penyokong

Ahli bersekutu bukti PAS tak rasis, kata penyokong

Timbalan Pengerusi DHPP PAS Terengganu Alex Chan Foo Yew berkata ia membuktikan PAS 'untuk semua'.

Muktamar PAS pada Sabtu lulus usul meminda perlembagaannya bagi membolehkan ahli bukan Islam menjadi ahli bersekutu. (Gambar Facebook)
TEMERLOH:
Seorang penyokong berkata keputusan PAS membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu bukti parti itu tidak rasis.

Alex Chan Foo Yew, yang juga timbalan pengerusi Dewan Himpunan Pendukung (DHPP) PAS Terengganu, berkata ia juga membuktikan PAS ‘untuk semua’.

“Terima kasih PAS boleh terima semua, walaupun kita ini bukan Islam,” katanya kepada FMT ketika ditemui di muktamar tahunan parti itu yang berakhir kelmarin.

Alex Chan Foo Yew.

Muktamar PAS pada Sabtu meluluskan usul meminda perlembagaannya bagi membolehkan ahli bukan Islam menjadi ahli bersekutu parti itu.

Disokong perwakilan secara sebulat suara, status ini memberikan hak mengundi kepada ahli DHPP untuk memilih pemimpin sayap itu.

DHPP terdiri daripada penyokong yang bukan beragama Islam.

K Jayaraman.

“Sebenarnya jika ingin kenal PAS macam mana, sertai dulu baru tahu. Ibarat tak kenal maka tak cinta,” kata Alex, yang mengakui usaha menarik orang bukan Islam menyertai PAS memerlukan masa.

Sementara itu, Pengerusi DHPP Pulau Pinang, K Jayaraman, sayap itu berperanan mendidik orang bukan Islam tentang perjuangan PAS.

“Bukan sasar angka sahaja tetapi kena didik mereka. Jumlah tak penting tetapi kena tahu perjuangan PAS,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha PAS Labis, Mahat Jamin, menyambut baik pindaan tersebut tetapi berharap PAS meneliti syarat yang ‘agak ketat’.

Mahat Jamin.

“Orang Islam pun ada golongan yang munafik dan apatah lagi orang bukan Islam. Kena ada satu mekanisme dan peraturan,” katanya.

Setiausaha Agung PAS pada sidang media sebelum ini menjelaskan pindaan kelmarin menjadikan keahlian parti terbahagi kepada ‘ahli’ dan ‘ahli bersekutu’.

“Dulu nak jadi ahli PAS buka kepada orang Islam sahaja. Walaupun ada DHPP tetapi mereka bukan keahlian penuh. Dulu DHPP hanya ‘friend of PAS’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.