
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata semua mangsa terdiri daripada 159 keluarga dari Kubang Pasu, Pendang, Kulim dan Pokok Sena.
Menurutnya, Pokok Sena paling terjejas dengan 255 mangsa daripada 63 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau dan Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang.
Beliau berkata, Pendang pula merekodkan 187 mangsa daripada 20 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah.
“Seramai 134 mangsa daripada 45 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Kubang Pasu, iaitu SK Malau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan PPK Lubuk Batu.
“Di daerah Kulim pula, 99 mangsa daripada 31 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Surau Taman Sang Kancil Lunas, Surau Kampung Paya Tok Betok dan SK Mahang,” katanya menurut Harian Metro.
Zulkhairi berkata, JKM Kedah menggunakan sistem pendaftaran baharu, iaitu kod QR bagi pendaftaran masuk dan keluar mangsa banjir di PPS.
Katanya, ia bagi memudahkan pendaftaran dan pemantauan mangsa banjir di PPS, selain memastikan bantuan diagihkan dengan lebih berkesan.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sehingga Khamis ini.
Amaran itu dikeluarkan hasil analisis beberapa model cuaca MetMalaysia terhadap penumpuan angin di utara Semenanjung dan barat Sabah yang dijangka berterusan hingga Sabtu ini.
Katanya, keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang di kawasan terbabit, selain angin kencang serta laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara.
Di beberapa negeri lain, MetMalaysia menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku sepanjang minggu ini.
Menurutnya, ia turut mengemas kini amaran angin kencang dan laut bergelora bagi Laut China Selatan serta Selat Melaka Utara sehingga 21 Sept ini.
Ia menasihatkan orang ramai merujuk www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.