
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata akar umbi PAS tidak lagi melihat ia parti yang menuruti ajaran Islam kerana dikaitkan dengan rasuah, salah laku dan mempunyai kepentingan sendiri.
“Akar umbi dah sedar perubahan perlu dilakukan, jika ada salah laku pemimpin lakukan, tindakan tatatertib perlu dikenakan. Cuma bezanya tindakan tak diambil dalam PAS dan disenyapkan, lebih-lebih lagi pemimpin itu dari peringkat tertinggi hierarki parti.
“Tapi, dalam muktamar dipersoalkan isu ini, malah bila ketua pemimpin yang juga menteri besar Perlis dipersoalkan, itu masalah besar yang menghantui akar umbi dan mereka tak boleh lagi mempertahankan PAS sebagai parti terbaik agama Islam,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, pembahas dari Perlis, Mohd Saifizi Saidon dalam Muktamar PAS menyuarakan kesedihan terhadap kualiti pemimpin parti itu kerana tiada tindakan diambil ke atas individu tertentu.
Beliau mendakwa ada pemimpin PAS bersalaman dengan wanita “berkali-kali” tidak dikenakan tindakan dan yang berkaraoke pula dipertahankan, selain PAS Perlis tidak terima laporan berhubung isu dihadapi Shukri, sama ada daripada negeri atau pusat.
Shukri pada 2 Mei lepas menegaskan beliau masih menteri besar, walaupun timbul desakan letak jawatan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan salah guna kuasa.
Pesuruhjaya PAS Perlis itu melihat desakan lepas jawatan hanya timbul di media sosial, bukannya di peringkat parti atau pentadbiran negeri.
Pada 23 Mei lalu, anak Shukri iaitu Mohd Syafeeq mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kenyataan itu “hanya dibawa oleh seorang ahli”.
“Kenapa kes menteri besar Perlis tak diberikan perhatian sangat? Sebab Perlis negeri kecil dan tidak menjadi rebutan sangat seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Perlis ni kira bonus sebab pemimpin pusat PAS tak memberi tumpuan sangat.”
Syaza Shukri yang juga dari UIAM berkata, tindakan ahli membangkitkan permasalahan dalam PAS membuktikan parti itu masih mempunyai demokrasi dan integriti.
“Sekiranya masih ada ruang untuk ahli bersuara atas ketidakpuasan terhadap pimpinan pusat mahupun negeri, ini dapat membuktikan prinsip demokrasi dan integriti dalam PAS.”