
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia menyifatkan cadangan agar ahli PAS belajar bahasa bukan Melayu sebagai tidak memadai, malah bukan kemahiran bahasa yang dinilai komuniti bukan Islam.
Sebaliknya, PAS gagal meneruskan memelihara sokongan orang bukan Islam pernah dinikmati sewaktu ketika dahulu apabila slogan ‘PAS for all’ dipopularkan bekas mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Aziz, bekas menteri besar Kelantan meninggal dunia pada Feb 2015.
“Menerusi slogan ‘PAS for all’, nampak ada sokongan bukan Melayu atau bukan Islam. Mereka melihat PAS sebagai parti yang boleh perjuangkan hak mereka kerana perjuangan parti itu dilihat lebih menyeluruh pada masa itu.
“Sebaliknya, PAS kini yang berada dalam Perikatan Nasional lebih condong kepada naratif Melayu-Islam. Maka orang bukan Islam tidak tertarik dengan perjuangan mereka,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan PAS hanya mampu meraih kemenangan di kawasan majoriti Melayu.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata usaha belajar bahasa kaum lain itu tidak mampu membantu meningkatkan sokongan orang bukan Islam jika majoriti ahli masih bersifat ‘konservatif’ dan ‘berhaluan kanan’.
“Pada masa sama, jika PAS terlajak jauh daripada penyokong tegar atau akar umbi parti itu, sudah tentu mereka tidak akan gembira,” katanya.
Beliau berkata PAS perlu cari keseimbangan dari segi isu yang patut diperjuangkan, agar tidak menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam dan pada masa sama mengekalkan kesetiaan penyokong tegar.
“Contohnya memperjuangkan golongan Islam tidak boleh masuk kedai judi atau akan dikenakan hukuman teruk tapi untuk bukan Islam mereka tidak hiraukan. Boleh kekal konservatif tapi hanya untuk golongan Muslim,” katanya.
Khamis lalu, Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa anggota sayap terbabit mempelajari bahasa kaum lain bagi memberi kefahaman kepada orang bukan Melayu terhadap perjuangan PAS untuk meningkatkan sokongan.
Beliau mendakwa semakin ramai orang bukan Melayu kini berani berterus-terang mengkritik DAP secara terbuka termasuk di TikTok yang perlu dimanfaatkan PAS.
Katanya, Pemuda PAS harus kikis tanggapan bahawa komuniti itu penyokong Pakatan Harapan, kerana ia menyebabkan ahli takut mendekati mereka.