
Dalam pengumuman oleh Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad tadi, Fuziah Salleh akan menggantikan Saifuddin.
“Saifuddin akan menumpukan usaha beliau sebagai ketua setiausaha Pakatan Harapan, anggota Biro Politik PKR dan ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nik Nazmi, penyusunan semula jawatan ini untuk memantapkan gerak kerja parti.
Saifuddin dilantik sebagai setiausaha agung PKR pada 2010. Beliau diangkat ke jawatan itu selepas tewas pemilihan jawatan timbalan presiden parti pada 2022.
Seiring dengan pergerakan Fuziah, jawatan pengerusi PKR Pahang akan diambil alih oleh Rizal Jamin.
Di Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri mengambil alih jawatan pengerusi negeri yang disandang Naib Presiden Chang Lih Kang.
Sementara itu, Majlis Pimpinan Pusat PKR menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan yang dianggotai Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Fuziah selaku setiausaha agung, Bendahari Agung William Leong, Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Kamil Munim, dan Timbalan Ketua Wanita Juwairiya Zulkifli.
Jawatankuasa itu akan dinasihati oleh Saifuddin selaku penasihat.
“Semua lantikan ini berkuat kuasa serta-merta,” kata Nik Nazmi.